Jangan salahkan orang – PM

Oleh ROSMAWATI MION

ALOR STAR 28 Okt. – Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi meminta semua usahawan Melayu berhenti menuding jari kepada orang lain jika perniagaan yang diusahakan mereka menghadapi masalah.

Sebagai ahli perniagaan katanya, mereka sepatutnya bermuhasabah dengan menilai kelemahan diri sendiri dan memperbaikinya, selain berusaha meningkatkan kemahiran perniagaan serta pengetahuan yang mampu membantu memajukan perniagaan mereka.

“Usahawan Melayu perlu tanya diri sendiri kenapa perniagaan mereka tidak maju, apa masalahnya dan kenapa setelah sekian lama perniagaan yang diusahakan masih di takuk lama tidak seperti orang lain.

“Mereka sepatutnya bermuhasabah secara ikhlas dan jujur, tanya dengan diri sama ada mereka tahu tentang segala yang ada hubung kait dengan apa yang mereka usahakan,” katanya ketika melancarkan Gagasan Badan Ekonomi Melayu (Gabem) negeri-negeri Wilayah Utara secara serentak di sini, hari ini.

Turut hadir, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid; Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim; Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang, Datuk Seri Abdul Rashid Abdullah; Exco negeri Perak, Datuk Ramli Zahari dan Pengerusi Gabem, Tan Sri Abdul Rahim Tamby Chik.

Abdullah berkata, apa yang dikesalkan, banyak usahawan Melayu menjalankan perniagaan separuh jalan apabila menghadapi masalah termasuk kekurangan kesungguhan dalam mengendalikan perniagaan.

Beliau berkata, mereka tidak mempunyai usaha yang bersungguh-sungguh untuk menambah nilai dalam segala aspek berkaitan perniagaan yang diusahakan.

“Banyak perkara yang kita lihat menunjukkan seolah-olah usahawan Melayu kita ini buat kerja tidak habis kerana terhenti apabila timbul masalah sedangkan kita sepatutnya berusaha sehingga ke peringkat yang membolehkan kita mendapat pendapatan lebih tinggi.

“Mereka juga perlu meningkatkan kemahiran perniagaan mereka tanpa mengira batas usia, malah seharusnya menggalakkan penglibatan anak-anak mereka yang mempunyai lebih pengetahuan untuk membantu dalam perniagaan tersebut,” kata Abdullah.

Perdana Menteri berkata, usahawan Melayu perlu mewujudkan rangkaian dengan perusahaan lain yang bukan sahaja boleh menambah pengetahuan dalam perniagaan, tetapi turut membantu mereka jika menghadapi masalah dalam perniagaan.

Jelas Abdullah, para usahawan Melayu juga perlu mengadakan lebih banyak aktiviti promosi untuk membantu meningkatkan lagi perniagaan yang dikendalikan.

“Masalahnya orang Melayu takut untuk mengeluarkan wang bagi tujuan pengiklanan sedangkan ia merupakan satu pendekatan yang mampu memberikan keuntungan yang besar dalam perniagaan,” katanya.

Sementara itu katanya, Gabem dilihat sebagai sebuah badan yang bersesuaian untuk membantu usahawan Melayu dalam meningkatkan perniagaan dan menilai serta memperbaiki kelemahan diri mereka.

Justeru katanya, Gabem diminta berperanan sebagai konsultan untuk membantu perniagaan usahawan Melayu dengan setiap pemimpin Gabem di setiap negeri perlu mempunyai senarai usahawan Melayu negeri masing-masing bersama laporan aktiviti dan tahap pencapaian mereka.

“Gabem perlu menyediakan panel yang tahu selok-belok perniagaan untuk menawarkan khidmat jururunding kepada semua usahawan yang menghadapi masalah.

“Jika semua ini dilaksanakan dengan tersusun dan teratur, kita akan lebih fokus lebih-lebih lagi dengan adanya Gabem yang menjadi satu badan yang benar-benar berkhidmat untuk pengusaha-pengusaha Melayu.

“Saya mahu perkara ini benar-benar menjadi kenyataan dengan kerjasama semua pihak,” katanya.

Abdullah berkata, kerajaan pada masa yang sama akan terus memberi peluang- peluang kepada usahawan Melayu, tetapi meminta mereka tidak mensia-siakan peluang yang diberikan itu.

0 comments: