Polis tunggu maklumat penting kes serbuan

Keterangan 2 anggota parah ditembak bantu kenal pasti penjenayah

KUALA LUMPUR: Polis berharap maklumat dua pegawainya yang cedera parah dalam serang hendap ketika operasi dadah di Taman Suria, Sungai Buloh, Khamis lalu, yang turut mengorbankan dua anggota polis, menjelaskan apa sebenarnya terjadi pada malam itu.

Pasukan khas ditugaskan Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan, untuk menyiasat kes itu sedang berusaha mendapatkan maklumat daripada pegawai terbabit, tetapi keadaan kesihatan mereka tidak mengizinkan.


Kedua-dua pegawai itu ialah Cif Inspektor Helmi Zakaria dari Cawangan Narkotik Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak dan Cif Inspektor Rajakumar Laju dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Komersial Bukit Aman.

Difahamkan, salah seorang pegawai terbabit mempunyai butiran terperinci mengenai kejadian itu, malah dikatakan turut mengecam nombor pendaftaran salah sebuah kereta digunakan suspek dalam serang hendap berkenaan.

Maklumat itu dijangka dapat membantu usaha mengenal pasti identiti penjenayah, termasuk seorang wanita dan dua kanak-kanak yang dipercayai isteri dan anak salah seorang suspek yang sedang diburu.


Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar, ketika dihubungi mengesahkan keadaan dua pegawainya itu stabil, tetapi masih menjalani rawatan lanjut di Hospital Sungai Buloh dan Hospital Selayang.

"Cuma, seorang daripadanya menjalani pembedahan susulan hari ini (semalam), tetapi keadaannya tidak membimbangkan," katanya.

Ditanya sama ada sebarang tangkapan dibuat setakat ini, beliau tidak dapat mengesahkan perkara itu, sebaliknya memaklumkan siasatan sedang dilakukan Bukit Aman dan Polis Selangor.

Dalam kejadian jam 8.15 malam itu, Lans Koperal Jaya Balan Krishnan dari Cawangan Narkotik IPD Gombak mati di tempat kejadian selepas terkena empat tembakan, termasuk satu di kepala, manakala Lans Koperal Alageson Malappan dari Unit Risikan Jenayah IPK Kuala Lumpur mati dalam perjalanan ke hospital.

Keempat-empat mereka diserang hendap sekumpulan lelaki menaiki dua kereta, masing-masing Proton Wira dan Nissan Sentra, ketika menyerbu sebuah rumah dua tingkat di Taman Suria, yang dipercayai dijadikan makmal dadah.

Sumber memberitahu Berita Harian, pemeriksaan lanjut polis di tempat kejadian turut menemui dua lagi peluru hidup dan tiga kelongsong peluru jenis .38.

Beliau berkata, gerakan kini ditumpukan di utara Semenanjung berikutan penemuan sebuah kereta Nissan Sentra, dipercayai ditinggalkan penjenayah terbabit di Ipoh, kelmarin.

0 comments: