Perkasa sektor tani -- Kerajaan disyor kukuhkan Unit Penyertaan Bumiputera setiap kementerian

Oleh TARMIZI ABDUL RAHIM

SEREMBAN 28 Okt. – Kerajaan dicadang supaya memperkasakan Unit Penyertaan Bumiputera di setiap kementerian yang bertanggungjawab membangunkan industri pertanian supaya dapat mengangkat sektor itu sebagai satu perniagaan.

Melalui cadangan itu kerajaan diminta menubuhkan Jawatankuasa Kabinet bagi menyusun dan menyelaras semula semua institusi dan akta berkaitan sektor pertanian negara.

Dengan memperkasakan unit itu dan penyusunan semula institusi serta akta yang berkaitan, rakyat khususnya orang Melayu akan dapat menghayati dan memanfaatkan sektor pertanian sebagai satu perniagaan.

Cadangan itu merupakan salah satu daripada tujuh resolusi yang dicapai pada Konvensyen Pertanian Kebangsaan 2007 yang berakhir hari ini.

Resolusi itu telah diserahkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Konvensyen, Datuk Seri Mohamad Hasan kepada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada majlis penutup konvensyen itu di sini, hari ini.

Ia akan dibentang pada mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) UMNO untuk dibincangkan sebelum dibawa ke Perhimpunan Agung UMNO bagi dijadikan dasar.

Selain itu, konvensyen tersebut turut menyarankan supaya kurikulum vokasional pertanian diwujudkan semula di sekolah dan memasukkan aspek pertanian dalam modul Program Latihan Khidmat Negara (PLKN).

Resolusi itu juga mencadangkan agar diwujudkan syarikat-syarikat yang menjadi tonggak Melayu dalam bidang pertanian bagi merealisasikan harapan kerajaan menjadikan pertanian sebagai enjin ketiga ekonomi negara.

Pada masa ini, antara cabaran dan halangan utama kaum Melayu untuk memperkasakan sektor pertanian sebagai perniagaan ialah kurangnya penglibatan dalam rantaian bekalan domestik dan antarabangsa.

Rantaian bekalan itu ialah pengeluaran, pemprosesan, pembungkusan, logistik, perkhidmatan dan pemasaran.

Enam resolusi lain yang turut dicapai dalam konvensyen itu untuk dibincang dan dilaksanakan ialah:

* Menggembleng gerakan koperasi melalui pertubuhan-pertubuhan koperasi berdasarkan pertanian yang berdaya saing untuk mengenal pasti dan mempromosikan pembangunan produk pertanian termasuk merangka kaedah pembiayaan, pemasaran dan pelaburan.

* Memperkukuhkan rangkaian kerjasama antara pengusaha bumiputera dan syarikat milik kerajaan (GLC) sebagai syarikat induk dalam pengeluaran dan pemasaran produk-produk pertanian.

* Penubuhan sekretariat tetap yang terdiri daripada wakil-wakil agensi kerajaan dan ahli-ahli parti yang komited dan berdedikasi untuk merangka strategi dan pelan tindakan ke arah merealisasikan resolusi konvensyen ini melalui penganjuran forum dan diskusi panel pakar.

* Membentuk jaringan kerjasama antara GLC, institusi pendidikan kerajaan dan swasta dalam melahirkan tenaga mahir dan kepakaran di semua peringkat termasuk latihan kepimpinan, keusahawanan dan pembangunan teknologi.

* Menerajui penjenamaan dan pemasaran produk halal di peringkat antarabangsa.

* Menubuhkan sebuah perbadanan bagi pembangunan yang komprehensif bagi warga nelayan.

0 comments: