RM260 juta atasi banjir di Pendang

Oleh MUHD. NIZAM ABD. HAMID dan SHARIZA ABDULLAH

PENDANG 28 Okt. – Masalah banjir yang sering berlaku di daerah Pendang turut mendapat perhatian Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang mahu masalah tersebut diatasi segera.

Beliau yang melakukan lawatan kerja sehari ke negeri ini mengambil kesempatan melawat Sungai Pendang dan mendengar taklimat ringkas oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) mengenai rancangan tebatan banjir di daerah tersebut.

Ketua Pengarah JPS, Datuk Paduka Ir. Keizrul Abdullah berkata, sejumlah RM1 bilion diperlukan untuk projek tebatan banjir di negeri ini termasuk membina dua lencongan baru bagi mengalirkan air terus ke laut.

Bagaimanapun, katanya, tumpuan akan diberikan kepada projek tebatan banjir di daerah Pendang memandangkan ia kawasan yang kerap dilanda bencana alam itu setiap kali hujan lebat berterusan.

Katanya, sebanyak RM260 juta diperlukan untuk menjalankan projek tersebut yang dipercayai dapat menyelesaikan masalah banjir di daerah itu.

“Perdana Menteri mengambil maklum mengenai projek ini dan menyifatkan ia penting untuk dilaksanakan,” katanya kepada pemberita selepas mengiringi Abdullah melawat Sungai Pendang di sini hari ini.

Sepanjang lebih sebulan lalu, daerah ini dua kali dilanda banjir iaitu pada 15 September dan 2 Oktober lalu menyebabkan ratusan penduduk terpaksa dipindahkan selain mengalami kerugian besar akibat kerosakan harta benda dan tanaman.

Antara punca utama kejadian banjir di situ ialah keadaan beberapa sungai yang cetek menyebabkannya tidak dapat menampung air terutama apabila hujan lebat.

Lebih menyulitkan hanya terdapat satu sahaja saluran di bawah Lebuh Raya Utara-Selatan untuk membantu mengalirkan air itu ke tempat lain, tetapi ia juga terlalu kecil.

Keizrul berkata, buat masa ini, air di daerah ini terpaksa melalui saliran sejauh 47 kilometer termasuk memasuki Sungai Kedah dalam daerah Kota Setar sebelum keluar ke laut.

‘‘Menerusi rancangan tebatan banjir di Pendang, kita akan membuat lencongan baru dari Sungai Pendang terus ke Sungai Limau di Yan untuk ke laut yang hanya kira-kira 10 kilometer,” ujarnya.

Menurutnya, selama ini sungai-sungai dari daerah Kubang Pasu, Padang Terap dan juga Pendang terpaksa memasuki Sungai Kedah ke Ampang Jajar sebelum ke laut.

Keadaan itu katanya, melambatkan pergerakan keluar air dari daerah berkenaan sehingga menyebabkan berlaku banjir khususnya di kawasan yang rendah.

0 comments: