Ajil berat lepaskan Mus ke ISS – Balu


Hayati Retha mendukung anaknya, Sheikh Aiman Shukor berusia tiga tahun.

SEREMBAN 28 Okt. – Allahyarham Sheikh Mustafa Shukor Al-Masrie, 32, yang meninggal dunia selepas seminggu koma agak berat hati melepaskan abangnya, Dr. Sheikh Muszaphar Shukor menyertai Program Angkasawan Negara.

Balunya, Hayati Retha, 29, memberitahu bagaimanapun suaminya kemudian menunjukkan minat yang mendalam terhadap angkasa lepas dan kerap memperkatakan mengenai program tersebut selepas pemilihan Sheikh Muszaphar.

“Sejak Muszaphar terlibat dalam Program Angkasawan Negara, dia selalu bercerita dan menunjukkan minat mengenai angkasa lepas.

“Namun, arwah macam ada perasaan tidak mahu Muszaphar pergi ke angkasa lepas, seperti dah tahu dia tidak akan bertemu dengannya lagi.

“Arwah juga tidak sabar untuk bertemu dan menyambut kepulangan abangnya dari Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS),” katanya yang mendirikan rumah tangga pada 2003 dengan Sheikh Mustafa atau dikenali sebagai Ajil dalam kalangan ahli keluarga.

Hayati ditemui pemberita selepas pengebumian jenazah suaminya di sini.

Allahyarham meninggal dunia di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Kuala Lumpur, pukul 6 petang semalam setelah koma selama seminggu selepas pengsan akibat terlanggar tiang dan terhantuk pasu bunga sewaktu memasuki sebuah restoran di Jalan Klang Lama, Ahad lalu.

Hayati berkata, dia sekeluarga amat terkejut dengan pemergian Sheikh Mustafa malah anak sulungnya, Sheikh Aiman Shukor, 3, kerap bertanya mengenai ayahnya.

0 comments: