Penerbangan Muszaphar lewat

SEDIH: Dr Sheikh Muszaphar meriba Sheikh Aiman Shukor Al Masrie bersama ahli keluarga berdoa atas pusara Sheikh Mustaffa Shukor di Tanah Perkuburan Islam Makam Tuan Haji Said, Seremban, semalam.

PETALING JAYA: "Seorang anak lelaki saya selamat kembali dari angkasa lepas, tapi seorang lagi pergi menghadap Ilahi. Saya tidak kesal dan saya terima hakikat bahawa dia tidak lagi bersama kami," kata Datuk Sheikh Mustapha Sheikh Shukor, kepada pemberita di kediamannya di sini, semalam.

Sheikh Mustapha, bapa kepada angkasawan pertama negara, Dr Sheikh Muszaphar, tenang dan tabah walaupun menghadapi detik yang memilukan berikutan kematian anaknya, Sheikh Mustaffa Shukor Al Masrie.

Bagaimanapun, beliau tidak mampu menyembunyikan kesedihan dan mengalirkan air mata apabila Chef Ismail, rakan niaga angkasawan negara yang juga rakan karib keluarga mereka, memeluk beliau sambil menangis dan berkata beliau turut berkongsi kesedihan dan kehilangan yang dialami keluarga itu ketika mereka sepatutnya menikmati detik-detik yang menggembirakan.

"Apabila melihatnya (Mustafa) terbaring di situ untuk dikafan, terlintas di fikiran saya bahawa sepatutnya, saya yang berada di situ. Bukan anak saya. Sepatutnya, dia yang menyempurnakan urusan jenazah saya.

"Tapi, ini adalah ketentuan Allah. Dia lebih sayangkan anak saya. Saya terima ketentuan Allah," kata Sheikh Mustapha dengan linangan air mata.

Bagaimanapun, ibu Allahyarham Sheikh Mustaffa Shukor Al Masrie, Datin Zuraida Sheikh Ahmad, kelihatan sedih dan mengalirkan air mata berikutan pemergian anaknya itu walaupun beliau menyatakan kepada pemberita bahawa beliau reda dengan ketentuan Allah dan menerima apa yang berlaku sebagai takdir.

"Dia anak yang baik. Dia sangat rapat dengan saya. Lebih kurang dua minggu sebelum pemergiannya, dia mengajak saya makan malam bersamanya di McDonald's pada 12.30 tengah malam.

"Saya rasa itu sesuatu yang pelik, tapi tidak pula begitu mengambil kisah mengenainya. Tapi, kini barulah saya sedar itu mungkin petanda daripada Allah bahawa dia akan pergi," katanya.

Selepas mengucapkan takziah kepada keluarga itu, Chef Ismail memberitahu pemberita Allahyarham Mustaffa Shukor Al Masrie seorang yang pintar dan daripada lima adik beradik lelakinya, beliaulah yang terlebih dulu mendirikan rumah tangga walaupun beliau anak keempat.

Saat paling memilukan ketika urusan menyempurnakan jenazah ialah apabila anak lelaki sulung Allahyarham Sheikh Mustaffa Shukor Al Masrie, Sheikh Aiman Shukor, 3, menangis sekuat hati sebaik saja melihat muka bapanya dibalut dengan kain kafan.
Balu Sheikh Mustaffa Shukor Almasri, Hayati Retha, 29, segera mendukung anaknya keluar sebelum doa dibaca.

Kira-kira 200 orang berada di rumah keluarga Allahyarham ketika jenazah beliau dikafankan, manakala Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi menyediakan dua bas bagi membawa mereka yang ingin menghadiri upacara pengebumian Allahyarham di Seremban.

Jenazah Sheikh Mustaffa Shukor Al Masrie dibawa ke Masjid Negeri Negeri Sembilan pada jam 11.30 pagi sementara menunggu ketibaan Dr Sheikh Muszaphar, yang mulanya dijadual tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dari Russia pada jam 2:10 petang, bagaimanapun ditunda sehingga 6 petang.

Berikutan itu, jenazah Sheikh Mustaffa Al Masrie selamat dikebumikan di tanah perkuburan Makam Tuan Haji Said, pada jam 2.30 petang, tanpa berpeluang menunggu kepulangan abangnya.

0 comments: