Abang kesal andaian ganti nyawa

PETALING JAYA 28 Okt. – Abang kepada Sheikh Muszaphar Shukor kesal dengan andaian sesetengah pihak yang menyatakan kematian adiknya, Allahyarham Sheikh Mustafa Shukor Al Masrie adalah bagi ‘menggantikan’ nyawa angkasawan negara tersebut.

Sheikh Taufik Shukor berkata, pemergian Sheikh Mustafa ialah ketentuan takdir dan bukannya bagi menggantikan tempat Sheikh Muszaphar yang menurut andaian sesetengah pihak sepatutnya meninggal dunia sewaktu kapsul Soyuz tersasar jauh sehingga 600 kilometer dari lokasi yang ditetapkan.

‘‘Orang boleh bercakap apa sahaja tentang kematian Ajil (Sheikh Mustafa).

‘‘Walaupun tarikh Soyuz tersasar dari tempat pendaratannya dan Ajil koma jatuh pada hari yang sama namun jangan buat andaian sesuka hati,’’ katanya.

Allahyarham yang merupakan lulusan Universiti Sains Malaysia (USM) dalam bidang Ukur Bahan dan memiliki perniagaan berkaitan pembinaan, meninggalkan seorang balu, Hayati Retha, 29, serta dua anak, Sheikh Aiman Shukor, 3, dan Siti Balkish berusia setahun.

Dalam pada itu, ibu kepada Sheikh Muszaphar, Datin Zuraida Sheikh Ahmad berkata, dua minggu sebelum kematiannya, Allahyarham ada mengajaknya keluar makan di McDonald pada pukul 1 pagi.

‘‘Sebelum ini, tak pernah dia ajak saya keluar makan selewat itu.

‘‘Mungkin itu antara petanda dia hendak meninggalkan kita semua,’’ katanya.

Bagi bapa Sheikh Muszaphar, Datuk Sheikh Mustapha Sheikh Shukor, beliau langsung tidak menyangka anaknya akan pulang ke rahmatullah namun reda dengan pemergian tersebut.

‘‘Ingatkan hendak raikan kepulangan Mus (Sheikh Muszaphar) namun tak sangka Ajil akan meninggalkan kami.

Sheikh Mustapha memberitahu majlis tahlil akan diadakan di kediamannya di Seksyen 12 di sini selama tiga malam bermula malam ini.

Beliau berkata, Sheikh Muszaphar diberikan pelepasan tiga hari untuk bersama keluarga ekoran kematian adiknya itu dan kerajaan akan mengatur sambutan rasmi kepulangannya sebagai angkasawan pertama negara, selepas itu.

Tambahnya, anaknya kemudian dijadual kembali semula ke Rusia untuk menghadiri majlis penyerahan sijil angkasawan.

Ditanya reaksi Sheikh Muszaphar selepas mengetahui kematian adiknya, Sheikh Mustapha memberitahu:

“Sheikh Muszaphar kata, ayah telah latih saya dan saya juga dilatih untuk mempunyai ketahanan diri dan mental, setakat ini saya boleh menerimanya cuma ayah perlu jaga emak baik-baik,” katanya.

Terdahulu, jenazah Sheikh Mustafa tiba di Masjid Negeri di sini, kira-kira pukul 12.55 tengah hari untuk disembahyangkan.

Sejurus selesai, jenazah dibawa ke tanah perkuburan diiringi lebih 100 orang ahli keluarga terdekat dan sahabat-handai.

Turut berada di Makam Haji Said yang merupakan tanah perkuburan tradisi keluarga Sheikh Mustapha ialah Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sikamat, Datuk Yusof Harmain Shah.

0 comments: