Siti Salmah ingin ke Aquaria

KUALA LUMPUR 28 Okt. – Gadis yang menghidap penyakit Hipertensi Pulmonari, Siti Salmah Jasni, 18, teringin ke Aquaria, KLCC bagi mengisi cuti hujung minggu selain rutin hariannya menonton televisyen atau mengulangkaji pelajaran.

‘‘Saya pernah ke Menara Berkembar Kuala Lumpur (KLCC) dulu, teringin juga melihat akuarium besar dan pelbagai jenis ikan yang menjadi kebanggaan negara.

‘‘Sayangnya masa terlalu suntuk di Kuala Lumpur selain kesihatan yang sebenarnya mengehadkan kebebasan saya,” jelasnya ketika dihubungi di sini hari ini.

Hajat untuk bersiar-siar atau menghadiri jemputan rumah terbuka Hari Raya kawan-kawannya juga terpaksa dilupakan kerana sering keletihan dan mengalami kesukaran bernafas.

‘‘Teringin juga hendak berjalan-jalan tetapi terpaksa dilupakan bila fikir badan tidak sihat.

‘‘Mujurlah kawan-kawan selalu datang menziarahi. Mereka selalu beri semangat supaya saya tidak terlalu tertekan,” ujarnya.

Tambah Siti Salmah, dia akan ke Kuala Lumpur esok untuk pemeriksaan kesihatan rutin paru-parunya di Institut Perubatan Respiratori (IPR) dan kemudian ke Institut Jantung Negara (IJN).

Namun begitu kata Siti Salmah, pemeriksaan itu juga akan menyebabkannya tidak dapat menduduki satu kertas peperiksaan akhir tahun yang dijadualkan esok.

‘‘Apa hendak buat. Malam ini ayah dan emak akan membawa saya ke Kuala Lumpur untuk pemeriksaan bulanan di IPR serta IJN.

‘‘Saya akan terus pulang ke Kulai selepas selesai pemeriksaan dan mengambil bekalan ubat-ubatan harian,” ujarnya.

Pelajar Sekolah Menengah Tunku Abdul Rahman Putra, Kulai, Johor itu telah lima tahun menunggu paru-paru baru, namun dia masih menaruh harapan akan memperoleh penderma.

Dia akan bertolak ke Kuala Lumpur dengan menaiki kereta dan dijangka sampai seawal pagi esok.

‘‘Sudah biasa begini. Tidur di dalam kereta semasa perjalanan dan sedar-sedar sahaja sudah sampai,” jelasnya.

0 comments: