Kos sara hidup rakyat Terengganu kedua tertinggi

KUALA TERENGGANU 28 Okt. - Kos sara hidup di Terengganu adalah yang kedua tertinggi di negara ini, kata Pengarah Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN), Datuk Adzlan Mohd. Dagang.

Selain itu, kata beliau, berdasarkan laporan Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan kajian pejabat daerah, negeri itu juga merupakan negeri kedua termiskin di negara ini.

Katanya, untuk itu, kerajaan negeri sedang bekerja keras dan lebih gigih dengan merangka pelbagai program ke arah memastikan kehidupan rakyat agar lebih terjamin.

‘‘Kerajaan negeri juga akan memastikan segala program pembangunan yang telah dan bakal dirancang dilakukan pengagihannya secara adil, menyeluruh dan seimbang.

‘‘Kita jangkakan menerusi pelaksanaan pembangunan insan dan yang berteraskan pendidikan oleh kerajaan negeri sekarang dapat menangani segala permasalahan yang dihadapi,’’ katanya kepada pemberita selepas majlis forum mengenai pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) di Batu Buruk, Beach Resort di sini, hari ini.

Dua ahli panel pada forum itu selain Adzlan ialah bekas Yang di Pertua Dewan Perniagaan dan Perusahaan Melayu Malaysia, Datuk Wan Mohd. Al-Bakri Wan Mohd. Noor.

Terdahulu, Adzlan menggesa pelbagai lapisan rakyat menjadi pelaku yang aktif dan bukannya penonton dalam menjayakan ECER yang bakal dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi di sini esok.

Katanya, untuk menjayakan rancangan besar itu, rakyat mesti mengubah sikap dan bersedia menerima perubahan kerana tanpa kedua- dua aspek itu sudah tentu mereka akan terus ketinggalan.

Mengenai ECER, beliau percaya ia bakal mengubah landskap atau wajah negeri Terengganu dari sebuah negeri yang sering dilabel sebagai negeri termiskin kepada sebuah negeri maju setanding dengan negeri-negeri ini.

Sementara itu, Wan Mohd. Bakri berharap selain projek besar, kerajaan seharusnya mengutamakan pelaksanaan projek yang menjurus dalam sektor perniagaan dan penyediaan peluang pekerjaan ke arah memastikan kehidupan rakyat terus mendapat pembelaan.

0 comments: