Ekonomi domestik perlu kekal positif

SEREMBAN 28 Okt. – Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kerajaan akan memastikan keadaan ekonomi negara terus kekal positif walaupun berlaku ketidakseimbangan ekonomi dunia ekoran kenaikan harga minyak mentah global.

Timbalan Perdana Menteri berkata, ekonomi domestik negara perlu dipastikan kekal berdaya saing walaupun sektor pembuatan mungkin terjejas teruk akibat daripada senario tersebut.

Kata beliau, kerajaan masih bergantung kepada kestabilan ekonomi dunia sebelum membuat sebarang keputusan yang mempunyai kaitan dengan kenaikan harga minyak dunia.

“Harga minyak dunia mempunyai dua impak kepada ekonomi kita iaitu positif dan negatif. Positifnya ialah kita sebagai negara pengeksport dan negatifnya keadaan itu juga akan menyebabkan bekalan minyak dunia akan berkurangan,” katanya pada sidang akhbar selepas menutup Konvensyen Pertanian Kebangsaan 2007 di sini hari ini.

Terdahulu, beliau yang juga Timbalan Presiden UMNO menerima resolusi konvensyen yang disampaikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Konvensyen, Datuk Seri Mohamad Hasan pada majlis penutup konvensyen itu di Hotel Allson Klana di sini hari ini.

Konvensyen itu dianjurkan oleh Biro Pertanian UMNO dan Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan dengan kerjasama Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani.

Ia melibatkan 1,000 peserta yang terdiri di kalangan pemimpin UMNO di peringkat bahagian.

Najib menjelaskan, sekiranya keadaan ekonomi dunia perlahan, ia secara langsung akan turut memberi impak kepada keadaan ekonomi negara.

Tambah Najib, impak lain ialah pemberian subsidi terhadap produk petroleum dan gas di negara ini akan turut meningkat sejajar dengan kenaikan harga minyak dunia.

Kerajaan pada masa ini memberi subsidi sebanyak RM16 bilion dalam tempoh lapan bulan pertama tahun ini.

0 comments: