BI dalam Sains, Matematik ditangguh

Oleh SUNARTI KIBAT

KLUANG 28 Okt. – Penggunaan sepenuhnya bahasa Inggeris bagi subjek Matematik dan Sains dalam peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang sepatutnya dilaksanakan tahun depan, ditangguhkan.

Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, pelajar yang menduduki ketiga-tiga peperiksaan itu tahun depan boleh membuat pilihan sama ada menjawab soalan dalam bahasa Malaysia atau bahasa Inggeris.

Beliau berkata, keputusan mengekalkan penggunaan kedua-dua bahasa tersebut telah diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi semalam.

‘‘Kementerian memerlukan antara dua hingga tiga tahun lagi untuk mengkaji pelaksanaan dasar tersebut dan sehingga itu, pelajar boleh memilih menjawab soalan sama ada dalam bahasa Malaysia atau Inggeris,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Sambutan Aidilfitri UMNO Bahagian Sembrong di Sembrong, Kluang hari ini yang turut dihadiri oleh Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman.

Menurut Hishammuddin, keputusan tersebut juga meliputi sekolah-sekolah jenis kebangsaan Cina dan Tamil.

Beliau berkata, keputusan itu dibuat selepas kajian yang dilaksanakan mendapati penggunaan bahasa Inggeris sepenuhnya dalam kedua-dua subjek tersebut belum boleh dilaksanakan ketika ini.

Katanya, kajian itu mendapati ia sukar dilaksanakan di peringkat sekolah rendah terutama di sekolah-sekolah luar bandar.

Bagaimanapun, menurutnya, di peringkat sekolah menengah, penggunaan bahasa Inggeris menunjukkan perkembangan yang menggalakkan.

Di peringkat matrikulasi pula, jelas beliau, sebanyak 95 peratus pelajar memilih menggunakan bahasa Inggeris ketika menjawab soalan.

‘‘Walaupun begitu, kementerian tidak berhasrat melaksanakannya di peringkat sekolah menengah terlebih dahulu kerana kita mahu melaksanakannya serentak,” ujarnya.

0 comments: