Pro & Kontra: Keganasan bola sepak di Itali tak wajar jadi ikutan

Bersama Raja Ahmad Zainuddin

SEBARANG bentuk rusuhan atau apa jua keganasan, memberikan kesan buruk kepada suasana politik, ekonomi dan persekitaran sosial sesebuah negara.

Justeru kita sentiasa menolak sebarang bentuk demonstrasi termasuk yang membabitkan sukan, lebih-lebih lagi bersifat ganas sama ada di atas padang atau di mana-mana yang mampu memberi implikasi buruk kepada nama negara dan sukan itu sendiri.

Perkara yang diperkatakan di Itali ketika ini ialah apakah bola sepak menjadi punca rusuhan atau memang masyarakat negara gila bola itu sedang dilanda krisis sosial hingga menyebabkan penyokong bola sepaknya bertindak ganas.

Memanglah masalah keganasan penyokong bola sepak berpunca daripada perlawanan bola sepak itu sendiri tetapi wajarkah sukan ini dipersalahkan kerana terbukti bola sepak juga banyak menyumbang kepada perdamaian.

Yang pasti, jadual perlawanan bola sepak Divisyen dua dan tiga Itali digantung hujung minggu lalu selepas peminat merusuh ekoran seorang penyokong Lazio yang ditembak secara tidak sengaja oleh polis.

Menurut laporan, kejadian Ahad lalu yang menyebabkan Gabriele Sandri terbunuh, berlaku di sebuah terowong laluan di Tuscany apabila berlaku pertempuran antara penyokong Lazio yang hendak menonton perlawanan pasukan mereka dengan Inter Milan, bertempur dengan penyokong Juventus.

Kejadian itu juga menyebabkan perlawanan Serie A antara Lazio dan Inter serta perlawanan Roma dan Cagliari digantung sementara perlawanan Atalanta dan AC Milan dihentikan hanya tujuh minit selepas bermula.

Keadaan itu turut menyebabkan Persekutuan Bola Sepak Itali (FIGC) menangguhkan perlawanan lain Serie A, Serie B dan Serie C - buat kali kedua tahun ini disebabkan keganasan penyokong fanatik - manakala Menteri Sukan Itali, Giovanna Melandri, mendesak pihak berkuasa supaya mengambil langkah lebih keras dan menggantung semua perlawanan domestik.

Ada yang bertanya kenapa hanya di Itali sering berlaku keganasan seperti ini? Kita berdoa agar penonton di negara kita tidak terpengaruh dengan kejadian seperti ini, walaupun sudah berlaku peristiwa penonton membakar dan merosakkan harta benda suatu ketika dulu.

Saya bersetuju dengan jurucakap UEFA. William Gaillard bahawa biarpun masalah keganasan kini serius, janganlah menyalahkan sukan itu semata-mata kerana keganasan bola sepak sebenarnya berpunca ekstrimis dan kumpulan terancang yang sengaja bertindak ganas, dan bukan perasaan dan sikap penyokong bola sepak keseluruhannya.

0 comments: