Pernikahan 22 pasangan kecoh, pegawai agama bergaduh

TAWAU 18 Nov. – Keceriaan majlis akad nikah melibatkan 22 pasangan pengantin di Dewan Diraja Masjid Al-Kauthar di sini semalam, bertukar menjadi insiden memalukan apabila dua pemimpin agama bergaduh di masjid tersebut.

Ia melibatkan seorang imam di salah sebuah masjid di Kota Kinabalu dengan seorang pegawai di Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS).

Pergaduhan dipercayai berpunca apabila imam itu dilarang menikahkan pasangan pengantin di masjid itu oleh pegawai JHEAINS terbabit kerana dikatakan tidak mendapat kebenaran JHEAINS.

Semasa teguran itu dilakukan, imam sudah pun menikahkan beberapa pasangan pengantin.

Menurut seorang pegawai yang enggan namanya disiarkan, imam dari Kota Kinabalu itu seharusnya memohon kebenaran menjadi juru nikah di situ kerana masjid itu di luar kawasannya.

“Mengikut prosedur, imam itu hanya boleh menikahkan pasangan pengantin di kawasan di bawah pentadbirannya iaitu di Kota Kinabalu dan jika mahu berbuat demikian di luar kawasannya, dia perlu merujuk kepada JHEAINS daerah,’’ katanya.

Namun, beliau enggan mengulas bagaimana dan mengapa imam itu boleh berada di masjid tersebut dan menjalankan majlis akad nikah itu.

“Pergaduhan kemudian selepas itu tetapi berjaya dilerai oleh mereka yang berada di masjid tersebut,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Kata pegawai itu, majlis pernikahan itu kemudian bagaimanapun diteruskan oleh iman dari Kota Kinabalu

Beliau memberitahu, kedua-dua pihak kemudian membuat laporan polis berhubung insiden yang berlaku.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jaafar Mohd. Yusuf ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian itu.

Bagaimanapun, beliau enggan mengulas lanjut kerana siasatan sedang dijalankan oleh pihak polis.

Dalam pada itu, Pengerusi Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS), Datuk Syed Abas Syed Ali dan Pengarah JHEAINS Sabah, Amri A. Suratman gagal dihubungi untuk mengulas lanjut kejadian itu.

0 comments: