Klip video: Semua dipanggil

KANGAR 18 Nov. – Suruhanjaya Diraja yang bakal ditubuhkan kerajaan bagi menyiasat klip video yang dikatakan mengandungi perbualan telefon antara seorang peguam terkemuka dan seorang hakim kanan bagi mengatur pelantikan hakim di negara ini, akan memanggil semua individu yang terlibat dalam klip video tersebut untuk disiasat.

Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Datuk Seri Radzi Sheikh Ahmad berkata, ia termasuk mereka yang bertanggungjawab merakam klip video itu serta individu-individu lain yang namanya disebut dalam klip video berkenaan.

Menurut beliau, di bawah Akta Suruhanjaya Siasatan 1950, suruhanjaya mempunyai kuasa untuk memanggil bagi menjalankan siasatan terhadap individu-individu terbabit.

“Jika gagal menghadirkan diri apabila dipanggil untuk disiasat, mereka boleh dikenakan tindakan mahkamah.

“Buat masa ini, saya dan dua menteri lain telah dilantik oleh Kabinet untuk meneliti laporan panel khas yang menjalankan siasatan kesahihan klip video itu dan seterusnya membuat rumusan.

“Rumusan itu akan dibentangkan dalam mesyuarat jemaah menteri Rabu depan,” katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan perlawanan bola keranjang Piala Datuk Seri Radzi di sini malam tadi.

Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi semalam mengumumkan penubuhan sebuah Suruhanjaya Diraja bagi menyiasat rakaman klip video berkenaan.

Perdana Menteri berkata, penubuhan suruhanjaya itu difikirkan wajar berdasarkan laporan panel khas bebas yang menyiasat kesahihan klip video itu baru-baru ini.

Selain Radzi, dua menteri lagi yang dilantik oleh Kabinet untuk meneliti laporan panel khas yang menyiasat kesahihan klip video itu ialah Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz.

Mengulas lanjut, Radzi berkata, pengerusi suruhanjaya itu masih belum ditentukan memandangkan penubuhannya baru sahaja diumumkan oleh Perdana Menteri.

“Saya dan dua menteri lagi sudah pun menerima laporan daripada panel khas itu dan kami akan membuat rumusan daripadanya,” jelas beliau.

Panel khas bebas yang ditubuhkan untuk menyiasat kesahihan klip video itu pada 25 September lalu dianggotai oleh bekas Hakim Besar Malaya, Tan Sri Haidar Mohd. Noor; aktivis masyarakat, Tan Sri Lee Lam Thye dan bekas Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Mahadev Shankar.

0 comments: