Lagi maklumat daripada telefon bimbit akan didedah

KUALA LUMPUR 18 Nov. – Saksi pendakwa ke-52, Aswami Fadillah Mohd. Ariffin akan menyambung keterangan berhubung data yang diperoleh daripada 12 telefon bimbit, 14 kad SIM (Modul Pengenalan Pelanggan) dan dua komputer riba pada perbicaraan kes pembunuhan Altantuya Shaariibuu yang masuk hari ke-59 esok.

Beliau yang juga Ketua Jabatan Forensik Digital, Cybersecurity Malaysia akan mendedahkan maklumat itu dengan bantuan projektor bagi memudahkan hakim, pihak pendakwaan dan pembelaan melihat serta memahaminya.

Keterangan ini masih berkisar tentang data yang berjaya diekstrak daripada telefon-telefon bimbit milik ketiga-tiga tertuduh, Cif Inspektor Azilah Hadri, Koperal Sirul Azhar Umar dan Abdul Razak Abdullah Baginda.

Begitu juga data daripada telefon bimbit milik teman wanita Azilah, Lans Koperal Rohaniza Roslan, sepupu Altantuya, Burmaa Oyunchimeg, nombor telefon bimbit Altantuya sendiri dan lain-lain.

Aswami bagaimanapun hanya membuat pengesahan terhadap data yang berjaya diekstrak seperti panggilan dan sistem pesanan ringkas yang masuk dan keluar dari kesemua telefon bimbit terbabit.

Begitu juga dengan nombor siri yang tertera pada kad SIM dan dalam kad SIM yang sebelum ini dikatakan berbeza.

Sebaik Timbalan Pendakwa Raya, Tun Abdul Majid Tun Hamzah selesai pemeriksaan utama, saksi itu akan disoal balas oleh barisan peguam bela bagi memastikan kesahihan maklumat yang diperoleh itu.

Dalam kes itu, Cif Inspektor Azilah Hadri, 31, dan Koperal Sirul Azhar Umar, 35, didakwa membunuh wanita Mongolia itu di antara Lot 12843 dan Lot 16735 Mukim Bukit Raja dekat sini antara pukul 10 malam 19 Oktober dan 1 pagi 20 Oktober tahun lalu.

Kedua-dua tertuduh dibicara bersama penganalisis politik, Abdul Razak, 47, yang didakwa bersubahat dengan mereka melakukan pembunuhan tersebut di pejabatnya di Tingkat 10, Bangunan Getah Asli, Jalan Ampang, Kuala Lumpur antara pukul 9.45 pagi dan 10.05 pagi pada 18 Oktober tahun lalu.

0 comments: