Suruhanjaya Diraja ada kuasa panggil saksi

KANGAR: Suruhanjaya Diraja yang akan ditubuhkan minggu depan mempunyai kuasa untuk memanggil ‘pelakon’ yang terbabit dalam rakaman perbualan telefon yang didakwa antara seorang peguam dan hakim kanan mengenai pelantikan Ketua Hakim Negara.

Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Datuk Seri Mohd Radzi Sheikh Ahmad, berkata semua mereka yang dikaitkan dengan rakaman klip video itu boleh dipanggil sebagai saksi oleh suruhanjaya itu dan tindakan mahkamah boleh dikenakan jika mereka ingkar.

Katanya, Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, akan mengumumkan ahli panel Suruhanjaya Diraja itu, termasuk pengerusinya selepas mesyuarat Kabinet, Rabu ini.

"Penubuhan Suruhanjaya Diraja adalah mengikut enakmen dan instrumen ditetapkan. Ia mempunyai kuasa untuk memanggil sesiapa saja sebagai saksi, termasuk mereka yang terbabit dalam rakaman klip video berkenaan.

"Jika mereka yang terbabit gagal hadir (di hadapan suruhanjaya)... mereka boleh didakwa ke mahkamah dan dikenakan hukuman mengikut undang-undang," katanya selepas merasmikan Kejohanan Bola Keranjang Piala Datuk Seri Radzi di Taman Perlis di sini, semalam.

Selain Radzi, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz dan Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, Datuk Seri Rais Yatim, adalah tiga menteri ditugaskan memberi pandangan dari perspektif perundangan mengenai hasil laporan Panel Bebas Khas yang menyiasat rakaman itu sebelum ini.

Rabu lalu, akhbar melaporkan panel bebas yang menyiasat mengenai kesahihan rakaman itu sepakat mencadangkan penubuhan Suruhanjaya Diraja. Panel itu yang ditubuhkan September lalu, diketuai bekas Ketua Hakim Malaya, Tan Sri Haidar Mohd Noor.Ditanya sama ada bekas Ketua Hakim Negara, Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim, juga akan dipanggil sebagai saksi, Mohd Radzi yang juga Ahli Parlimen Kangar berkata, semua ‘pelakon’ yang dikaitkan dalam rakaman klip video itu tidak terlepas daripada dipanggil oleh Suruhanjaya Diraja.

Beliau percaya dengan penubuhan Suruhanjaya Diraja, siasatan dapat dijalankan secara lebih rapi dan terperinci sehingga ke akar umbi kerana suruhanjaya ada kuasa memanggil dan memaksa mereka memberi keterangan.

"Panel bebas yang ditubuhkan kerajaan bagi menyiasat kes rakaman klip video ini, tidak mempunyai kuasa dari segi undang-undang untuk memaksa sesiapa saja hadir sebagai saksi.

"Seperti semua pihak sedia maklum dalam kes itu, peguam yang wajahnya kelihatan dalam klip video berkenaan adalah saksi utama kes," katanya.

Radzi juga mengesahkan beliau membaca dan meneliti laporan yang dikemukakan panel bebas itu selepas memperoleh salinannya, tiga hari lalu.

"Kami tiga menteri yang mempunyai latar belakang perundangan dipertanggungjawab untuk membuat rumusan hasil siasatan panel penyiasat bebas untuk dibentangkan kepada mesyuarat Kabinet, Rabu ini.

"Orang ramai jangan terkeliru kerana kami bukan anggota Suruhanjaya Diraja. Tugas kami hanya melihat, membaca dan seterusnya merumuskan terma rujukan terbaik. Kami tidak mempunyai kuasa untuk mengubah atau meminda laporan awal panel bebas itu," katanya.

0 comments: