Henti Anugerah Penyapu jika ia penghinaan: PM

Oleh Shaarani Ismail dan Baharom Bakar



KUALA TERENGGANU: Kerajaan Selangor perlu memikirkan cara lain yang lebih baik sekiranya kaedah memberi penyapu sebagai peringatan terhadap prestasi kerja yang tidak mencapai tahap diinginkan tidak menampakkan kebaikan, kata Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Perdana Menteri berkata, bagaimanapun jika perkara itu dilihat berkesan dan tidak menghina serta sanggup diterima pegawai kerajaan perkara itu tidak menjadi kesalahan.

“Jika benda ini tak nampak kebaikan, perlu difikirkan apakah cara lain dan jika itu dilihat sebagai berkesan dan tidak menghina dan jika pegawai kerajaan sendiri sanggup menerimanya dan bersetuju itu adalah kehendak merekalah,” katanya pada sidang media selepas melawat Taman Tamadun Islam (TTI) di Pulau Wan Man di sini, semalam.

Hadir sama isteri, Datin Seri Jeanne Abdullah; Menteri Besar, Datuk Seri Idris Jusoh; Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Abdullah Md Zin.

Abdullah mengulas tindakan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo memberi Anugerah Penyapu kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) negeri itu yang gagal memungut cukai yang disasarkan kerajaan negeri baru-baru ini.

Perkara itu mendapat maklum balas daripada pelbagai pihak, termasuk Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), ahli politik, tokoh akademik dan tokoh agama.

Perdana Menteri berkata, Dr Mohamad Khir sudah memaklumkan kepadanya bahawa anugerah yang dibuat adalah hasil daripada perbincangan yang diadakan antara Mohamad Khir dan pegawai kerajaan yang berkaitan.

“Pada hari pertama saya lihat gambar itu (anugerah penyapu), saya tanya bagaimanakah keputusan dibuat untuk menganugerahkan dengan penyapu, Datuk Seri Khir maklumkan kepada saya bahawa ini satu keputusan yang dibuat hasil daripada perbincangan antara beliau dan pegawai kerajaan sendiri.

“Niat dan tujuannya adalah untuk mencari apakah pendekatan yang boleh diambil untuk memberikan anugerah kepada jabatan yang sudah pun menjalankan tugasnya dengan baik dan membuktikan tahap perkhidmatan tinggi,” katanya.

Beliau berkata, bagaimanapun terserah kepada Dr Mohamad Khir untuk mempertimbangkan perkara itu jika perlu kerana ketika ini rakyat memberikan reaksi berbeza terhadap isu berkenaan kerana ada yang menyokong dan ada yang membantah.

Sementara itu, Abdullah berpuas hati dengan kemajuan tiga projek di Terengganu membabitkan pembinaan Taman Tamadun Islam (TTI), program Skim Untuk Kesejahteraan Petani (Sutratani) dan Pusat Animasi Negeri (e-farm).

Perdana Menteri berkata, tiga projek itu banyak memberikan manfaat kepada rakyat negeri ini, terutama menyediakan peluang pekerjaan.

Beliau berkata, antara yang berpotensi adalah pusat animasi e-farm yang diharap mampu menjadi pusat animasi terbesar di negara ini.

“Menerusinya, akan ada latihan melatih siswazah yang belum bekerja supaya mereka diberi kemahiran dalam bidang ICT (teknologi maklumat dan komunikasi),” katanya.

Mengenai TTI, Perdana Menteri berkata, projek sedang dilaksanakan itu mempunyai nilai pendidikan dan mampu memberi kefahaman kepada seluruh masyarakat bahawa umat Islam juga mempunyai tamadun tinggi.

Katanya, kepakaran umat Islam itu terbukti apabila mampu membina Masjid Kristal dan replika masjid lain yang terdapat di negara Islam melalui seni bina yang begitu cantik.

“Ada lagi masjid hebat mampu dibina di kawasan TTI, tetapi disebabkan masalah kawasan tidak mengizinkan menyebabkan banyak lagi masjid terindah di negara Islam tidak dapat dibina.

“TTI apabila siap nanti dan dipromosikan secara hebat bakal menjadi pusat tarikan yang bukan saja akan menambah ekonomi negeri, tetapi mampu menarik umat Islam dan bukan Islam, termasuk daripada negaa Timur Tengah berkunjung,” katanya.

0 comments: