Tolak tindakan melampau

Oleh Johari Ibrahim



ALOR STAR: Sultan Kedah, Sultan Abdul Halim Muadzam Shah, mengajak rakyat menolak sebarang tindakan melampau yang boleh merosakkan perpaduan bagi memastikan agenda pembangunan kerajaan untuk rakyat berterusan.

Baginda bertitah perpaduan adalah kunci kepada kemajuan sesebuah negara dan perlu dijadikan pegangan oleh semua pihak.


Titah baginda, bagi memastikan perpaduan sentiasa dipelihara, semua pihak perlu menjaga sensitiviti agama, budaya dan kaum masing-masing.

"Perpaduan bukan sesuatu yang dibina dalam tempoh yang singkat dan bersifat retorik.

"Justeru, beta ingin mengingatkan semua ahli Yang Berhormat, pegawai kerajaan dan rakyat bahawa perpaduan adalah faktor utama dalam agenda pembangunan demi kesejahteraan rakyat," titah baginda pada pembukaan penggal keempat Sidang Dewan Undangan Negeri Kedah, semalam.


Baginda mahu semua pihak menolak sebarang unsur atau usaha memecahbelahkan perpaduan rakyat kerana budaya atau tindakan melampau akan menyebabkan rakyat menjadi gusar dan hidup dalam keadaan tidak tenteram.

Sultan Kedah bertitah perpaduan dan kerja berpasukan seperti yang diamalkan oleh kakitangan kerajaan pada masa ini perlu dikekalkan kerana ia terbukti membawa kejayaan.

Sambil mengambil contoh kejayaan pasukan bola sepak Kedah yang memenangi tiga piala tahun ini iaitu Piala Malaysia, Piala Liga dan Piala Super, baginda bertitah ia lambang kepada semangat perpaduan dan ingin melihat negeri Kedah maju.

“Tindakan negatif seperti iri hati dan berpuak-puak boleh merosakkan semangat perpaduan yang sedia dijalin dan wajar dihindari,” titah baginda.

Mengenai sistem penyampaian kerajaan, Sultan Kedah meminta agensi kerajaan memastikan proses kelulusan permohonan pelaburan dilaksanakan dalam tempoh singkat supaya pelabur berasa yakin dengan kesesuaian pelaburan mereka.

Baginda bertitah rekod pelaburan berjumlah RM11.7 bilion di Kedah pada tahun lalu berupaya dikekalkan jika kakitangan kerajaan terus bekerja sebagai satu pasukan dan memendekkan tempoh proses kelulusan yang bersifat mesra pelabur.

Mengenai program pembangunan dalam inisiatif Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER), Sultan Kedah bertitah kejayaannya banyak bergantung kepada kerjasama antara agensi kerajaan dan swasta.

Selain itu, baginda yakin NCER akan membantu merapatkan jurang pembangunan antara kawasan yang maju dan kurang maju.

Antara perancangan NCER yang mendapat perhatian baginda ialah projek menyusun semula sistem perparitan dalam kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (Mada) bagi meningkatkan hasil padi kepada 10 tan sehektar membabitkan 18,410 pesawah.

Bagi mencapai hasrat itu, baginda bertitah konsep tanaman padi secara estet seperti yang diusahakan di Jelai dekat Alor Star, diperluaskan ke seluruh kawasan Mada dengan kerjasama swasta.

Sultan Kedah bertitah usaha kerajaan menerusi NCER memerlukan anjakan paradigma supaya semua peluang ekonomi yang wujud dapat direbut.

0 comments: