Sultan Pahang jamin raja Melayu tak terbabit politik

Oleh Sariha Mohd Ali

KUANTAN: Sultan Pahang Sultan Ahmad Shah memberi jaminan raja-raja Melayu tidak akan terbabit dalam kancah politik bagi memenuhi kepentingan golongan tertentu yang cuba menentang kerajaan.

Sehubungan itu, baginda mengingatkan pihak terbabit supaya menghentikan sebarang cubaan untuk mengheret institusi raja dalam kegiatan yang bertentangan dengan undang-undang.

"Saya dukacita dengan fitnah mengatakan kononnya Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin berkenan dan menyokong perhimpunan haram di ibu negara pada 10 November lalu kerana ia tidak benar sama sekali.

"Kita tak boleh jadi kumpulan haram yang tak ikut undang-undang negara, malah sebagai orang Melayu, kita tidak boleh memfitnah, membenci sesama sendiri dan memburukkan orang lain, terutama raja yang kita sayangi.

"Bagi saya, tindakan mereka cuba mengheret raja dalam kegiatan bertentangan undang-undang amat tidak wajar.

"Sebagai raja, kita menyokong kerajaan yang diberi kuasa oleh rakyat dan parti yang memerintah," titah baginda kepada pemberita selepas merasmikan Bangunan Lembaga Kebajikan Islam Malaysia (LKPIM) Pahang di sini, semalam.

Sultan Pahang bertitah demikian ketika diminta mengulas kenyataan Istana Negara yang menafikan Yang di-Pertuan Agong memberi perkenan atau menyokong perhimpunan haram anjuran Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih), 10 November lalu.

Kelmarin, Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Wan Mohd Safiain Wan Hasan dalam satu kenyataan menegaskan Seri Paduka kesal kerana beberapa pihak tertentu mendakwa perhimpunan haram itu mendapat perkenan dan sokongan baginda serta Istana Negara.

0 comments: