6 beradik terima RM450 sebulan

Oleh Nojie Nadzirah



KUALA TERENGGANU: Kisah enam beradik yatim piatu berusia antara tiga hingga 13 tahun di Kampung Telaga Papan, Setiu yang dilaporkan semalam, mula mendapat perhatian apabila mereka dijanjikan bantuan bulanan maksimum RM450 selewat-lewatnya awal bulan depan.

Pemeriksaan pegawai JKM daerah Setiu semalam mendapati keenam-enam mereka pada asasnya layak menerima bantuan daripada agensi itu, termasuk bantuan persekolahan seperti tambang bas, pakaian sekolah dan basikal.

Pengarah JKM negeri, Adnan Abu Bakar, berkata penilaian yang dibuat pegawai terbabit mendapati kanak-kanak terbabit yang tinggal bersama datuk dan nenek layak menerima bantuan am bulanan.

Beliau berkata penilaian semula akan dibuat bagi menentukan sama ada enam beradik itu layak untuk menerima bantuan lain, termasuk bantuan persekolahan bagi meringankan beban tanggungan penjaga.

Katanya, JKM juga akan menilai sama ada datuk dan nenek kanak-kanak itu layak menerima bantuan warga emas.

"Semakan rekod JKM daerah Setiu juga mendapati tiada permohonan dibuat keluarga berkenaan untuk mendapatkan bantuan.

"Berasaskan laporan Berita Minggu, pegawai JKM Setiu membuat lawatan ke rumah datuk dan nenek enam beradik berkenaan dan mendapati mereka layak menerima bantuan am bulanan," katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Berita Minggu semalam melaporkan kisah sedih enam beradik yatim piatu yang kehilangan ibu pada 18 Oktober lalu, tiga minggu selepas kematian ayah mereka.

Kini enam beradik itu, Mimi Nur Arbaine Shairah Fauzan, 13, Mohd Alif Nor Ikhwan, 11, Mohd Aizat Lokman, 9, Mohd Hanif Farhan, 8, Mohd Akid Khuzairi, 7 dan Nor Amira Ayurin, 3, tinggal bersama datuk dan nenek di Kampung Telaga Papan.

Datuk dan nenek mereka, Fauzi Jusoh, 72, dan Maimunah Abdullah, 63, hanya bekerja kampung dan menangkap ikan.

Sementara itu Ahli Parlimen Setiu, Mohd Yusop Majid berkata, kerajaan negeri akan membantu enam beradik terbabit bagi memastikan kehidupan mereka terus terbela terutama bagi memastikan mereka tidak tercicir daripada pendidikan.

Beliau berkata sebagai kerajaan yang prihatin terhadap pendidikan, enam beradik itu berhak mendapat pembelaan terutama bagi meneruskan persekolahan lima daripada mereka.

Katanya, bantuan akan disalurkan melalui JKM dan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam).

"Kita tidak akan membiarkan mereka tanpa mendapat pembelaan sewajarnya daripada kerajaan negeri. Kita akan lihat bentuk bantuan sewajarnya dari semasa ke semasa.

"Namun ahli korporat dan individu yang dermawan digalak membudayakan masyarakat penyayang dengan membantu kanak-kanak ini untuk memastikan masa depan mereka terus cerah," katanya.

0 comments: