Johor FC raih tiga mata

Oleh Rizar Mohd Noor

SENTUHAN penyudah Walter Silva Ariel pada minit terakhir perlawanan memastikan kemenangan buat Johor FC apabila menewaskan Terengganu 2-1 dalam saingan pertama Liga Super di Stadium JCorp, Pasir Gudang, malam tadi.

Pemain import dari Argentina itu yang beraksi buat musim kedua untuk Johor FC nyata menjadi penyelamat untuk tuan rumah selepas kedudukan aksi kedua-dua pasukan tampak seakan berkesudahan seri 1-1.

Apapun Terengganu mendahului pada minit ketiga hasil kesilapan Azizan Baba yang gagal menanduk keluar bola sepakan sudut Zairo Anuar Zalani buat Fabian Flor menolak bola hasil satu kekalutan depan pintu gol.


Pada babak kedua jurulatih, Ramlan Rashid mengubah strategi apabila memasukkan Fahruzzahar Ali bagi menguatkan barisan serangan untuk bergandingan dengan Walter Silva memburu gol penyamaan.

Nyata perubahan itu membuahkan hasil apabila tuan rumah dihadiahkan sepakan penalti minit ke-55 oleh pengadil Ibrahim Muhammad selepas Mohd Saiful Rusly menjatuhkan Christopher Musa hasil gerakan Eddy Helmi Manan. Walter Silva mudah menewaskan Md Shahrizan.

Penyerang Argentina itu bertindak menjadi pemusnah pada minit-minit akhir dengan menanduk masuk hantaran lintang Fahruzzahar bagi memberikan tiga mata berharga buat skuad Lebah.

0 comments: