Perlis pertahan kejuaraan Piala Sumbangsih


Pemain dan pegawai pasukan Perlis bergembira meraikan kejayaan mereka merangkul Piala Sumbangsih selepas menewaskan Kedah 5-4 menerusi penentuan sepakan penalti pada perlawanan di Stadium Darul Aman, Alor Setar, malam tadi.

KUALA LUMPUR – Perlis merangkul Piala Sumbangsih buat tahun kedua berturut-turut selepas menewaskan Kedah menerusi penentuan sepakan penalti 5-4 pada perlawanan di Stadium Darul Aman, Alor Setar, semalam.

Selepas terikat tanpa jaringan dalam 90 minit permainan sebenar, Perlis mula meraikan kemenangan sebaik sepakan penalti terakhir Kedah oleh Victor Andrag terkena palang sebelum terkeluar.

Ketika itu kedudukan terikat 4-4 hasil daripada tujuh sepakan penalti yang diambil kedua-dua pasukan.

Kejayaan itu mengulangi pencapaian Perlis musim lalu yang merangkul piala sama selepas menewaskan Pahang 2-1.

Perlawanan semalam turut dianggap saingan Liga Super bagi kedua-dua pasukan berkongsi satu mata tanpa mengambil kira penentuan sepakan penalti.

Dalam perlawanan lain, tiga pasukan tuan rumah iaitu Negeri Sembilan, Sarawak dan Pulau Pinang tumbang di gelanggang sendiri.

Negeri Sembilan tewas 0-2 kepada Selangor dalam perlawanan di Stadium Tunku Abdul Rahman Paroi.

Mohd. Amri Yahyah dan R. Surendran muncul penjaring buat Selangor tetapi malang bagi Akmal Rizal Rakhli apabila gagal menyempurnakan sepakan penalti.

Sarawak pula tunduk kepada pendatang baru Liga Super, Polis Diraja Malaysia (PDRM) 1-4 dalam perlawanan di Stadium Sarawak.

Dua gol Polis disumbang pemain importnya, Hillary Ethesa pada minit ke-30 dan 82 manakala baki dua lagi gol dijaringkan Ahmad Latif Kamaruddin (m-57) dan Mohd. Fadly Kassim (m-70).

Gol tunggal Sarawak pula dijaringkan Jose Louiz Viera pada minit ke-38.

Pulau Pinang pula tunduk 0-2 kepada Pahang dalam perlawanan di Stadium Bandaraya.

Dua gol pasukan pelawat dijaringkan Mohd. Kamal Rodiarjat (m-18) dan penalti Rosdi Talib (m-80).

Hanya dua pasukan tuan rumah yang menang semalam. Perak yang menewaskan DPMM Brunei 2-0 dalam perlawanan di Stadium Perak, Ipoh.

Kedua-dua gol Perak disumbangkan penyerang prolifik, Khalid Jamlus pada minit ke- 4 dan 90.

Johor FC pula bangkit daripada ketinggalan sebelum menang 2-1 ke atas Terengganu dalam perlawanan di Stadium Pasir Gudang.

Fabian Flor membuka jaringan buat Terengganu seawal minit ke-3 sebelum penyerang Johor FC, Walter Ariel Silva menjaringkan gol penyamaan minit ke-55 dan gol kemenangan pada minit ke-90.

0 comments: