Bayaran tambahan PIBG tidak wajib

PUTRAJAYA 18 Nov. – Kementerian Pelajaran menjelaskan, bayaran tambahan yang dikenakan oleh pihak sekolah serta Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) pada sesi persekolahan tahun depan adalah tidak wajib dan pembayarannya bergantung kepada persetujuan ibu bapa.

Menterinya, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein meminta ibu bapa dan orang ramai jangan keliru dan tidak menyamakan bayaran tambahan itu dengan yuran khas wajib yang dimansuhkan oleh kerajaan.

‘‘Saya ingin menjelaskan sekali lagi bahawa semua yuran rasmi sekolah telah dimansuhkan mulai penggal persekolahan tahun depan sebagaimana diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi ketika pembentangan Bajet 2008 baru-baru ini.

‘‘Yuran-yuran yang telah dimansuhkan termasuk yuran sekolah bernilai RM4.50 bagi murid sekolah rendah dan RM9 bagi pelajar sekolah menengah,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Pada 11 November lalu, Kementerian Pelajaran mengeluarkan satu garis panduan berhubung paras siling bayaran tambahan yang akan dikenakan ke atas pelajar pada sesi persekolahan tahun depan berdasarkan tiga pakej dengan mengambil kira keadaan sosioekonomi sesebuah sekolah.

Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Alimuddin Mohd. Dom dipetik sebagai berkata, garis panduan itu dikeluarkan bagi memastikan jumlah bayaran tambahan ke atas beberapa kemudahan yang disediakan oleh pihak sekolah untuk kegunaan murid sepanjang tahun tidak membebankan ibu bapa khususnya yang berpendapatan rendah.

Minggu lalu, Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN) mendedahkan terdapat sekolah yang mengenakan bayaran tambahan sehingga RM200.

Kos

Menurut Hishammuddin, Kementerian Pelajaran telah memperuntukkan sebanyak RM210 juta bagi menampung kos pemansuhan yuran peperiksaan dan akan membelanjakan sejumlah RM128 juta setahun untuk membekalkan buku teks secara percuma mulai tahun depan.

Beliau menyatakan, bagi ibu bapa berpendapatan rendah yang tidak mampu menjelaskan bayaran tambahan, mereka boleh memohon bantuan daripada kementerian melalui saluran-saluran yang disediakan termasuk Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin ((KWAPM).

Hishammuddin berkata, mereka yang tidak jelas mengenai perkara tersebut boleh menghubungi talian aduan tetap Kementerian Pelajaran iaitu 03- 8888 8445/446/443 (Pejabat Khidmat Pelanggan), Hotline Aduan Disiplin (1-800-88-4774) dan talian faksimile (03-8888 8431).

Katanya, segala aduan ibu bapa yang dikemukakan melalui talian tersebut akan disalurkan kepada Jawatankuasa Khas Penggal Persekolahan 2008 yang dipengerusikan oleh beliau sendiri.

‘‘Selain isu yuran dan bayaran tambahan, jawatankuasa itu juga akan meneliti isu-isu lain seperti bekalan buku teks dan buku kerja, cuti persekolahan, kekurangan guru mengikut subjek dan opsyen, masa mengajar guru disiplin sehingga 20 waktu seminggu dan jadual peperiksaan akhir tahun.

‘‘Saya amat berharap segala isu berkaitan dengan persediaan penggal persekolahan tahun depan akan ditangani sepenuhnya oleh kementerian bagi memastikan segala urusan sekolah berjalan dengan lancar,” kata beliau.

0 comments: