Kembar Siam dipisah Januari

KUALA LUMPUR 18 Nov. – Pasangan kembar Siam perempuan, Nur Badrishah dan Nur Bahiyah yang dilahirkan di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Star, Kedah pada 22 September lalu, dijangka dipisahkan pada awal Januari tahun depan.

Utusan Malaysia difahamkan, pakar perubatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) sedang menjalankan beberapa pemeriksaan terhadap bayi itu bagi memastikan mereka dapat dipisahkan tidak lama lagi.

Sumber HKL memberitahu, pasangan bayi itu juga menunjukkan perkembangan kesihatan yang memuaskan walaupun bersambung pada bahagian abdomen serta tidak mempunyai punggung.

“(Keadaan kesihatan) Bagus. Kembar itu sihat tetapi kita masih menjalankan beberapa pemeriksaan untuk memastikan mereka dapat dipisahkan awal tahun hadapan.

“Ibu bapa mereka masih di Perlis. Kita sentiasa maklumkan kepada mereka tentang perkembangan anak kembar itu,” katanya di sini hari ini

Setakat ini, mereka masih ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) HKL sejak dipindahkan ke hospital itu 25 September lalu.

Berat badan pasangan kembar itu kini mencecah 6.2 kilogram berbanding 4.2 kilogram ketika baru dilahirkan.

Kembar Siam itu adalah anak keempat dan kelima pasangan Norhisyam Mohamad, 30, dan Sopiah Daud, 30, dari Jalan Kaki Bukit, Chuping, Perlis.

Sebelum ini, Pakar Bedah Kanak-Kanak HKL, Datuk Dr. Zakaria Zahari memberi tempoh kira-kita tiga sehingga enam bulan untuk menentukan sama ada kembar itu boleh dipisahkan atau sebaliknya.

Tambah sumber itu, Nur Badrishah dan Nur Bahiyah masih berada di ICU kerana ada beberapa prosedur yang perlu diselesaikan sebelum pembedahan dijalankan.

“Dengan keadaan bayi itu yang semakin membesar dan sihat, kita menjangkakan tiada masalah timbul sebelum mereka dipisahkan,” ujarnya.

0 comments: