PBT perlu lebih tegas kutip cukai – CUEPACS

KUALA LUMPUR 18 Nov. – Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) meminta pihak berkuasa tempatan (PBT) bertindak tegas termasuk menyita premis yang pemiliknya tidak membayar cukai.

Presidennya, Omar Osman berkata, PBT perlu bertindak demikian bagi mengelakkan mereka dipersalahkan apabila banyak cukai yang tertunggak.

‘‘Hasil cukai itu bukan sahaja digunakan bagi membayar gaji kakitangan PBT dan kos pengurusan tetapi untuk pembangunan di kawasan tersebut.

‘‘Selain itu, wakil rakyat, Ahli Parlimen atau jawatankuasa penduduk perlu turut sama membantu bagi memudahkan kakitangan PBT mengutip cukai,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Isnin lalu, pada majlis anugerah sempena Bulan Kualiti 2007, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr. Mohamad Khir Toyo menghadiahkan penyapu kepada Majlis Daerah Hulu Selangor yang diwakili oleh Yang Dipertuanya, Tukiman Nail dan Pejabat Tanah dan Daerah Hulu Selangor kerana tidak mencapai sasaran kutipan cukai.

Kelmarin, Mohamad Khir mengambil keputusan tidak akan memberikan penyapu sebagai ‘hukuman’ kepada PBT yang gagal memperoleh tahap pencapaian minimum tahun depan, sebaliknya mengarahkan para pegawai atasan PBT melepaskan jawatan masing-masing dengan bersara awal atau mengambil Skim Pemberhentian Sukarela (VSS).

Penilaian

Menurut beliau, untuk penilaian pada tahun hadapan, pihaknya tidak hanya memfokuskan kepada pencapaian sesebuah jabatan tetapi juga prestasi individu yang bertanggungjawab terhadap sesebuah organisasi.

Omar seterusnya berkata, kerajaan negeri Selangor tidak seharusnya hanya menyalahkan PBT apabila gagal mengutip cukai tertunggak kerana PBT tidak mempunyai peruntukan yang mencukupi.

Sehubungan itu, katanya, kerajaan Selangor wajar menambah peruntukan kepada PBT supaya rakyat dapat menikmati kemudahan yang lebih baik.

‘‘CUEPACS banyak terima aduan daripada orang ramai yang enggan membayar cukai atas alasan PBT tidak menjalankan tugas seperti tidak menyediakan tong sampah dan tidak mengutip sampah.

‘‘Apa yang penduduk tidak tahu ialah masalah yang dihadapi oleh PBT termasuk tidak cukup kakitangan sehingga terpaksa mengambil pekerja sambilan,” katanya.

Sementara itu, Yang Dipertua Majlis Daerah Kuala Selangor, Haris Kasim berkata, kesalahan tidak seharusnya diletakkan kepada PBT semata-mata kerana rakyat turut bertanggungjawab membayar cukai.

‘‘Dalam hal kutipan cukai ini, orang ramai juga mempunyai tanggungjawab bersama. Kita sudah berkali-kali beri amaran tetapi mereka masih tak bayar,” katanya.

0 comments: