Dua persoalan patah hujah Singapura

SINGAPURA sejak lebih 150 tahun lalu bertindak sebagai pentadbir rumah api Horsburgh di Pulau Batu Puteh, atas kebenaran Sultan Johor dan bukan pemilik sah pulau yang terletak kira-kira 7 batu nautika dari pantai Johor.

Kehadiran British pada 1847 di pulau itu untuk meninjau tapak pembinaan rumah api yang siap dilancarkan pada 1851 bagi mengawal laluan pelayaran yang masuk ke Selatan Singapura.

Malah, status Singapura sebagai pentadbir rumah api tetap dihormati Malaysia sehingga hari ini sama seperti peranan negara itu dalam mentadbir rumah api Pulau Pisang di wilayah Johor.

Sejak Sultan Johor menyerahkan Singapura kepada British melalui Treti Crawfurd 1824, tidak pernah timbul persoalan hak kedaulatan Pulau Batu Puteh sehinggalah republik itu membantah tindakan Malaysia menerbitkan peta pada 1980 memasukkan pulau itu sebagai sebahagian wilayah Malaysia.

Ejen Malaysia, Tan Sri Abdul Kadir Mohamad, dalam ucapan pembukaan kes Malaysia pusingan pertama minggu lalu memberitahu Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ), Singapura boleh terus mentadbir rumah api di Pulau Batu Puteh itu.

Katanya, tindakan republik itu menuntut hak kedaulatan pulau yang sejak 150 tahun dulu hak milik Malaysia agak ganjil kerana negara itu tidak pernah mengemukakan sebarang bukti sebagai pemilik sah pulau itu.

Singapura dalam kes pusingan pertamanya mendakwa pulau itu tidak pernah mempunyai pemilik sehinggalah British menjejaki kaki mereka di pulau itu pada 1847 untuk mencari tapak pembinaan rumah api.

Sejak rumah api itu beroperasi pada 1851, Singapura mendakwa pelbagai kegiatan dijalankan di pulau itu untuk mengesahkan negara itu mempunyai kedaulatan ke atas Pulau Batu Puteh.

Bagaimanapun, dakwaan Singapura pulau itu tidak bertuan dan dalam tempoh 1847-1851, British mempunyai hak milik ke atas pulau itu berjaya disanggah Malaysia melalui hujah bernas serta meyakinkan dikemukakan barisan peguam berwibawa.

Malaysia menggunakan sepenuhnya masa yang diperuntukkan selama empat hari untuk mengemukakan kes berdasarkan fakta sejarah, undang-undang serta sokongan peta.

Hujah terra nullius Singapura disanggah melalui pembentangan fakta dua perjanjian 1824, iaitu Treti British-Belanda dan Treti Crawfurd sekali gus mengesahkan Pulau Batu Puteh berada dalam wilayah Kesultanan Johor.

Melalui Treti British-Belanda, kedua-dua kuasa penjajah di rantau ini ketika itu, bersetuju menggariskan wilayah pengaruh masing-masing membabitkan utara Selat Singapura berada dalam pengaruh British manakala di selatan selat itu, penguasaan Belanda.

Johor yang terletak di utara selat itu berada dalam pengaruh British dan apabila Singapura diserahkan kepada British melalui Treti Crawfurd tidak timbul Pulau Batu Puteh turut berada dalam jajahan British.

Peguam Malaysia, Prof James Crawford, dalam hujah penutupnya merumuskan dua persoalan mengenai kedudukan pulau itu, iaitu jika Pulau Batu Puteh mempunyai tuan iaitu Sultan Johor pada 1847 dan pulau itu tidak berada di bawah pengaruh Belanda berdasarkan Treti British-Belanda 1824, justeru pulau itu sebahagian daripada Johor.

Katanya, rumusan kedua pula jika Pulau Batu Puteh sebahagian daripada Johor pada 1847 dan Sultan Johor memberi kebenaran membina rumah api termasuk di Pulau Batu Puteh, justeru pentadbiran British ke atas rumah api itu bukan satu tindakan menggambarkan kedaulatan.

Jika dua rumusan yang ditunjukkan Malaysia diterima mahkamah, dan jika Malaysia menunjukkan Great Britain membina rumah api di wilayah Johor dengan kebenaran Johor, sekali gus kes republik itu gagal.

Singapura dalam mengemukakan kes negara itu tidak menggunakan pendekatan preskripsi, iaitu mereka menduduki pulau yang bertuan tetapi melalui tindakan mereka dalam tempoh yang agak panjang menjurus seolah-olah mereka pemilik tanah itu.

Negara itu tidak berani untuk menggunakan pendekatan seumpama itu kerana secara langsung mereka mengesahkan pulau itu bertuan dan ia bercanggah dengan hujah terra nullius yang dipegang republik itu. Pendekatan itu juga tidak mempunyai nilai dalam undang-undang antarabangsa kerana ia lebih bersifat undang-undang persendirian.

Dalam pusingan pertama kes Singapura, negara itu mendakwa surat jawapan pemangku Setiausaha Kerajaan Johor pada 21 September 1953 mengesahkan negeri itu tidak menuntut hak kedaulatan ke atas Pulau Batu Puteh.

Negara itu banyak bergantung kepada surat itu untuk meyakinkan kepada mahkamah sejak 1953, Johor secara terbuka sudah mengakui tidak berminat ke atas pulau berkenaan.

Bagaimanapun, hujah itu disanggah Peguam Malaysia, Prof Diraja Sir Elihu Lauterpacht bahawa pegawai kanan Johor itu tidak pernah menyerahkan hak kedaulatan Pulau Batu Puteh kepada Singapura melalui surat yang dihantar kepada Setiausaha Penjajah Singapura itu.

Katanya, pegawai itu hanya menyatakan negeri itu tidak menuntut pemilikan pulau itu. Terdapat perbezaan 'kedaulatan dan pemilikan', iaitu kedaulatan adalah konsep undang-undang antarabangsa manakala pemilikan, konsep undang-undang persendirian.

Lauterpact berkata, jawapan surat itu merujuk kepada pemilikan pulau berdasarkan kepada undang-undang persendirian dan bukan kedaulatan kerana pegawai terbabit tidak mempunyai kuasa untuk menyerahkan wilayah Johor kepada British.

Bagaimanapun, katanya, apa-apa maksud surat jawapan pemangku Setiausaha Kerajaan Johor tidak mengikat Johor dan Malaysia.

Selain itu, hujah surat 1953 itu tidak boleh diterima mahkamah kerana tiada tindakan susulan Johor secara rasmi menyerahkan pulau itu sebagai tanah jajahan British seperti dilakukan penyerahan Singapura melalui Treti Crawfurd 1824.

Jika kita perhatikan ketika Singapura mengemukakan kes mereka, negara itu bergantung penuh kepada peta yang diterbitkan Malaysia bermula 1824 hingga 1980 untuk menunjukkan Pulau Batu Puteh milik republik itu.

Mereka dengan bangganya menggunakan peta Malaysia untuk berhujah terdapat sebahagian peta itu menunjukkan Pulau Batu Puteh berada dalam wilayah Singapura, tetapi tidak ada sebarang peta dari negara itu untuk menyokong hujah yang dikemukakan itu.

Kegagalan Singapura mengemukakan sebarang peta rasmi termasuk Pulau Batu Puteh sebelum tarikh pertikaian agak ganjil dengan dakwaan republik itu mempunyai hak kedaulatan ke atas pulau berkenaan.

Singapura gagal menjelaskan kepada mahkamah kenapa negara itu tidak mengemukakan peta rasmi sebelum 1995, walaupun negara itu mengakui mempunyai hak milik ke atas pulau itu pada 1847 atau 1851.

Malaysia mengemukakan tujuh peta termasuk daripada negara ketiga seperti United Kingdom dan Amerika Syarikat yang menyokong kes negara itu, selain bukti lain.

Walaupun keterangan peta bukan menjadi penentu keputusan dalam kes yang dibawa ke ICJ sebelum ini, ia boleh digunakan sebagai bukti sokongan bagi menguatkan kes Malaysia.

Malaysia menutup kes pusingan pertama kira-kira jam 1.15 tengah hari (8 malam waktu Malaysia) dengan penuh keyakinan berdasarkan hujah bernas yang disampaikan di depan hakim tetap dan ad hoc ICJ.

Setiap hujah Singapura berjaya dijawab dan disanggah, kini tiba giliran republik itu pada hari ini untuk mengemukakan hujah baru serta meyakinkan Pulau Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan menjadi hak milik mereka.

0 comments: