Banjir besar dijangka di 4 negeri

Oleh FAIZAH IZZANI ZAKARIA

KUALA LUMPUR 18 Nov. – Pergerakan angin Monsun Timur Laut yang membawa hujan lebat yang melebihi paras biasa dijangka menyebabkan banjir besar di empat negeri di Semenanjung dalam tempoh tiga bulan akan datang.

Timbalan Pengarah Ramalan, Jabatan Meteorologi, Che Gayah Ismail berkata, jabatan itu meramalkan beberapa kawasan di pesisir pantai dan pedalaman Kelantan serta Terengganu akan menerima taburan hujan bulanan paling tinggi iaitu antara 500 milimeter (mm) hingga 1,000mm dalam tempoh itu.

Menurutnya, jumlah taburan hujan itu dijangka melebihi paras normal bulanan antara 70mm hingga 80mm bagi kawasan tanah rendah.

Negeri-negeri Semenanjung lain yang mengalami jangkaan taburan hujan melebihi paras normal dalam tempoh tiga bulan akan datang ialah Pahang serta kawasan timur laut dan barat laut Johor iaitu dengan purata jumlah hujan bulanan antara 500mm hingga 900mm.

“Dalam keadaan itu, hujan lebat yang berterusan melebihi tiga jam di sesebuah kawasan mampu menyebabkan kawasan tersebut dilanda banjir, jadi orang ramai yang tinggal di kawasan rendah dinasihatkan berjaga-jaga dalam tempoh itu,” kata Che Gayah ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau berkata, fenomena itu berlaku kerana angin lazim dari arah timur laut dengan kelajuan antara 10 dan 20 knot membawa kelembapan udara tinggi yang mencetuskan ketidakstabilan atmosfera.

Keadaan cuaca itu, jelas beliau, menyumbang kepada pembentukan awan perolakan yang aktif dan sekali gus menyebabkan hujan lebat.

Sementara itu, Ketua Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Datuk Paduka Ir. Keizrul Abdullah berkata, jabatan itu kini bersiap sedia menghadapi kemungkinan banjir terutama di Semenanjung.

0 comments: