Yuran rasmi sekolah tetap dimansuh

Oleh Mohd Hamizar Hamid

PUTRAJAYA: Kementerian Pelajaran menegaskan yuran rasmi sekolah akan tetap dimansuhkan mulai penggal persekolahan tahun depan seperti diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi ketika pembentangan Bajet 2008.

Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata yuran yang dimansuhkan termasuk yuran sekolah bernilai RM4.50 bagi pelajar sekolah rendah dan RM9 bagi pelajar sekolah menengah, serta yuran peperiksaan.

"Selain yuran, buku teks juga akan diberikan secara percuma kepada setiap pelajar selaras hasrat kerajaan menyediakan pendidikan percuma kepada setiap pelajar di negara ini," katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini, semalam.


Beliau bagaimanapun berkata, semua bayaran tambahan lain yang dikenakan pihak sekolah atau Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) adalah tidak wajib dan bergantung kepada persetujuan ibu bapa sendiri.

Hishammuddin berkata, ibu bapa berpendapatan rendah yang tidak mampu menjelaskan bayaran tambahan dikenakan, boleh memohon bantuan daripada pihak kementerian menerusi saluran disediakan termasuk Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin.

Mereka yang ingin mendapatkan penjelasan boleh menghubungi talian aduan tetap kementerian di talian 03-88888445/446/443 (Pejabat Khidmat Pelanggan), hotline aduan disiplin di 1-800-88-4774 atau faks ke 03-88888431.

0 comments: