Dapat penyapu, baru nak komplen – Khir Toyo

Oleh FAUZIAH AROF

SHAH ALAM 18 Nov. – ‘‘Kalau tidak setuju beritahu awal-awal, jangan dah dapat (penyapu) baru hendak komplen. ‘‘Dia sudah lama tahu dan setuju mengenai anugerah ini... kita tak mahulah orang yang cakap siang lain, malam pula cakap lain,” kata Menteri Besar Selangor, Datuk Seri. Dr. Mohamad Khir Toyo.

Beliau berkata, sepatutnya Yang Dipertua Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS), Tukiman Nail perlu tegas dalam perkara itu dan jika tidak bersetuju dengan anugerah penyapu beliau boleh menyuarakannya semasa anugerah tersebut dicadangkan dulu.

Katanya, Tukiman mempunyai banyak masa untuk membantah kerana anugerah itu sudah lama dibincangkan iaitu sejak lebih setahun lalu dan telah dipaparkan sebelum ini oleh media.

Mohamad Khir mengulas kenyataan Tukiman yang disiarkan Mingguan Malaysia hari ini bahawa beliau lebih rela bersara awal atau mengambil Skim Pemberhentian Sukarela (VSS) jika itu yang dimahukan oleh kerajaan negeri daripada dihadiahkan penyapu.

Menurut Tukiman, anugerah penyapu amat sukar untuk diterima berbanding VSS.

Pada Isnin lalu Tukiman menerima hadiah penyapu daripada Menteri Besar Selangor kerana MDHS gagal mengutip hasil cukai dengan cemerlang.

Mohamad Khir menjelaskan, semasa diberi penerangan pada satu sesi soal jawab dalam satu majlis tahun lalu, tidak seorang pun ketua jabatan atau Yang Dipertua pihak berkuasa tempatan (PBT) yang tidak setuju mengenai anugerah itu.

‘‘Mereka bersetuju secara konsensus pada sesi soal jawab mengenai ganjaran serta hukuman itu.... pada majlis itu saya katakan mungkin mereka akan dapat penyapu jika tidak cemerlang. Tiada seorang pun pegawai jumpa saya membantah atau menulis surat termasuk Tukiman,” katanya.

Dalam pada itu, tambah Mohamad Khir, anugerah tersebut bukan diberikan khas untuk Tukiman tetapi kepada MDHS.

“Perkara itu tidak sepatutnya dilihat secara peribadi,” katanya.

Ditanya mengenai kenyataan Tukiman yang lebih rela bersara awal daripada menerima penyapu, jawapan Mohamad Khir ringkas: “Terpulang kepada Tukiman... jika beliau tidak bersetuju dengan anugerah itu beliau patut beritahu awal-awal lagi.”

Mohamad Khir memberitahu, beliau sendiri tidak tahu mengapa setelah dilaksanakan anugerah penyapu, ada pihak yang tidak berpuas hati sedangkan mereka telah lama mengetahuinya.

‘‘Ini bukan benda baru, saya lihat ramai yang tulis (dalam akhbar-akhbar) yang tidak faham dan mungkin juga terkejut tetapi kalau mereka baca Utusan Malaysia, cerita pasal anugerah penyapu ini telah setahun setengah dilaporkan. Ini cerita lama.

‘‘Elok kita faham isu dulu baru bercakap. Sikap kita ialah kita suka bercakap benda yang kita tidak faham... kita buang masa dan bergaduh di Malaysia ini pun kerana suka cakap benda yang tak faham.

‘‘Faham dulu dan tanya dulu baru buat kenyataan. Itu yang paling bagus,” ujarnya.

Menteri Besar menjelaskan, Selangor cuma melaksanakan langkah yang telah dipersetujui bersama sebelum ini.

Kerajaan negeri, katanya, tidak boleh sekadar memberi nasihat kepada mana-mana PBT yang tidak mencapai sasaran dalam sistem penyampaian kerana nanti rakyat menganggap kerajaan tidak tegas.

Sementara itu, Mohamad Khir mendedahkan banyak ketua jabatan dan PBT gagal menghantar pegawai-pegawai yang tidak cemerlang berkursus di pusat latihan yang disediakan untuk mereka.

Katanya, setakat ini pusat latihan yang terletak di Sabak Bernam itu menerima tidak sampai 50 orang pegawai untuk diberi latihan.

‘‘Bila kita tanya, semuanya kata okay sahaja, walhal dalam tiga penyelidikan yang kita buat, 70 peratus daripada masalah rakyat di Selangor melibatkan PBT. Jadi apa yang patut kita buat? Hendak biarkan atau hendak buat tindakan?'' tegasnya.

0 comments: