BN sudah bersedia -- Tarikh pilihan raya ditentukan selepas Parlimen bubar – PM

Oleh Nor Aziah Jaafar dan Irman Hashim

KUALA TERENGGANU 18 Nov. – Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, jentera pilihan raya UMNO dan Barisan Nasional (BN) kini berada pada tahap yang amat baik dan bersedia menghadapi pilihan raya umum ke-12 pada bila-bila masa dari sekarang.

Menurut Perdana Menteri, persiapan UMNO dan BN untuk menempuh pilihan raya juga berjalan lancar dan beliau berpuas hati dengan pencapaian yang ditunjukkan oleh semua sayap parti komponen BN.

Bagaimanapun, beliau mengakui, terdapat wakil rakyat parti itu yang tidak menunjukkan prestasi yang baik walaupun mereka mempunyai masa yang panjang sebelum pilihan raya umum untuk melaksanakan tugas masing-masing.

Mengenai golongan itu, Abdullah menegaskan, nasib mereka akan ditentukan menjelang pilihan raya dan mereka perlu bersedia menerima realiti jika tidak dipilih semula sebagai calon pada pilihan raya umum akan datang.

‘‘Ada (wakil rakyat) yang menjalankan kerja dengan baik, jadi wakil rakyat yang baik, (tetapi) ada juga yang lemah,” katanya pada sidang akhbar selepas melakukan lawatan ke Taman Tamadun Islam di Pulau Wan Man dekat sini hari ini.

Mengenai tarikh pilihan raya umum yang dikatakan semakin hampir, Perdana Menteri meminta semua pihak menunggu sehingga Parlimen dibubarkan untuk mengetahui bila pilihan raya itu akan dilangsungkan.

Menurut Abdullah, kuasa membubarkan Parlimen terletak di tangan beliau selaku Perdana Menteri, oleh itu pihak lain tidak perlu membuat sebarang spekulasi mengenainya.

Katanya, hanya beliau akan menentukan bila tarikh pilihan raya umum ke-12.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Ab. Rashid. Ab. Rahman baru-baru ini berkata, beliau tahu bila pilihan raya umum ke-12 akan diadakan tetapi tidak dapat mengumumkannya.

Abdullah menjelaskan, selagi Parlimen tidak dibubarkan tarikh pilihan raya umum tidak dapat ditentukan.

Justeru, beliau mempersoalkan bagaimana Rashid mengetahui tarikh berkenaan jika beliau sendiri sebagai Perdana Menteri belum mengumumkan pembubaran Parlimen.

‘‘Kita (kerajaan) tak bubar Parlimen, macam mana dia (Rashid) tahu. Bubar Parlimen saya yang tentukan, apa yang nak disibukkan,'' ujar Perdana Menteri.

Pilihan raya umum ke-11 diadakan pada 21 Mac 2004 dan bulan ini genap tiga tahun lapan bulan BN mendapat mandat besar dalam pilihan raya tersebut.

Mengikut peraturan pilihan raya, Abdullah mempunyai masa sehingga pertengahan 2009 sebelum mengadakan pilihan raya umum ke-12.

Pada 2004, UMNO menerajui BN untuk menang besar dengan parti orang Melayu itu memenangi 109 daripada 198 kerusi Dewan Rakyat yang dimenangi oleh BN. Pada 2004, Dewan Rakyat mempunyai 219 kerusi.

Pilihan raya umum ke-12 pula akan mempertandingkan 222 kerusi Parlimen.

0 comments: