Bina 63 masjid dikagumi negara Islam

KUALA TERENGGANU: Pembinaan 63 masjid di seluruh negeri dianggarkan bernilai RM38 juta dalam tempoh tiga tahun mulai 2004 dikagumi beberapa pemimpin negara Islam seluruh dunia.

Projek pembinaan itu tidak termasuk kerja-kerja menyiapkan lima daripada enam masjid terbengkalai ketika Terengganu di bawah pemerintahan Pas.

Pemimpin negara luar serta pemimpin badan pertubuhan sukarela Islam kagum atas kesungguhan kerajaan negeri yang bukan saja mampu membina masjid baru, malah berjaya menyiapkan pembinaan masjid terbengkalai dalam tempoh tiga tahun.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam Hadhari dan Kebajikan negeri, Muhammad Ramli Nuh, berkata antara projek pembinaan masjid yang pembinaannya terbengkalai ialah masjid Kampung Tembakang, Bukit Payong, Masjid Alor Limbat, Masjid Kuala Berang, Masjid Kampung Penarik dan Masjid Kampung Gemuroh.

Katanya, lima masjid terbengkalai yang pembinaannya dilaksanakan kerajaan Pas mulai 2000 kini boleh digunakan manakala projek pembinaan satu lagi masjid iaitu di Kampung Gemuroh bernilai RM1.8 juta akan dimulakan Januari depan.

"Tender untuk pembinaan masjid terbengkalai di Kampung Gemuroh yang dimulakan pertengahan 2002 di atas tanah seluas kira-kira 0.6 hektar akan ditutup 3 Disember depan dan kontraktor yang berminat memasuki tender dikeluarkan Jabatan Kerja Raya (JKR) dibenarkan melawat tapak untuk sebut harga.

"Kita jangka pembinaan masjid yang boleh menampung seramai 1,000 jemaah siap dalam tempoh tujuh bulan," katanya selepas melawat tapak masjid bersama Jurutera Bangunan JKR negeri, Muhammad Khazani Abdul Rahman, semalam.

Muhammad Ramli yang juga Ahli Dewan Undangan negeri (Adun) Tepuh, berkata kemampuan kerajaan negeri membina 63 masjid baru dan menyiapkan pembinaan masjid terbengkalai dalam tempoh yang singkat menarik minat kerajaan Sepanyol untuk mempelajarinya.

0 comments: