Program Susu Sekolah masih diteliti

SEREMBAN: Kementerian Pelajaran masih belum membuat sebarang keputusan berhubung Program Susu Sekolah (PSS) yang dihentikan serta-merta Ogos lalu berikutan kes keracunan makanan yang dilaporkan di beberapa sekolah seluruh negara.

Timbalan Menterinya, Datuk Hon Choon Kim, berkata keputusan sama ada program itu ditamatkan terus atau disambung semula hanya akan dibuat selepas kajian terperinci dilakukan bagi memastikan tiada lagi masalah selepas ini berpunca daripada susu yang dibekalkan.

"Kita akan membuat keputusan terbaik, termasuk kemungkinan menggunakan alternatif lain sebagai ganti kepada susu untuk memastikan masalah keracunan tidak berulang, tetapi keputusan itu tidak boleh dibuat tergesa-gesa.

"Setakat ini, kementerian masih membuat penelitian serta persediaan secukupnya bagi memastikan keputusan yang dibuat nanti adalah yang terbaik," katanya, selepas merasmikan majlis penutup program promosi kesihatan bersama pemimpin, di sini semalam.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan, Kebersihan dan Kesihatan (3K) kementerian itu, berkata satu mesyuarat dengan Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad, akan diadakan berhubung perkara itu, termasuk cadangan menggantikan susu dengan makanan tambahan lain.

"Kita akan dengar pandangan Kementerian Kesihatan dulu, termasuk mengenai alternatif kepada susu. Jika cadangan itu tidak sesuai, kita akan pastikan pula bagaimana untuk mengelakkan berlaku masalah keracunan di sekolah seperti sebelum ini.

"Perkara ini perlu dibincangkan panjang lebar supaya apabila program berkenaan disambung semula, ia tidak lagi menimbulkan masalah. Perbincangan turut meliputi aspek pengilangan, penyimpanan, penghantaran, pengangkutan serta pemantauan oleh pihak sekolah," katanya.

0 comments: