Murid trauma dibelasahperlu rawatan psikiatri

KUANTAN: Murid Tahun Satu Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Baging, Cherating yang cedera selepas dibelasah sekumpulan lapan murid Tahun Empat dan Lima sekolah sama Khamis lalu, perlu menjalani rawatan pakar psikiatri berikutan trauma serius yang dialaminya akibat kejadian itu.

Ashraf Aris, 7, dari Kampung Cherating Baru yang dimasukkan ke Pusat Perubatan Kuantan (KMC) petang kelmarin juga perlu menjalani rawatan lanjut selepas mengalami kencing berdarah petang kelmarin.

Bapanya, Aris Sharif, 54, berkata sejak kejadian itu, sikap anaknya yang periang, berubah menjadi seorang yang sering ketakutan, selain membuang air tanpa sedar.

Beliau berkata, sejak dua hari lalu, Ashraf sering terkencing tanpa menyedarinya, malah dia sering menepuk dahi secara tiba-tiba apabila teringat semula kejadian berkenaan.

"Ashraf dimasukkan ke KMC malam tadi (semalam) sebab kami bimbang kesihatannya terjejas akibat dibelasah terutama selepas dia mengalami kencing berdarah petang semalam (kelmarin).

"Dia juga sukar makan kerana mengalami sakit di perut akibat ditendang dan sakit kepala selepas dihantuk ke dinding tandas.

"Doktor pakar sudah membuat ujian imbasan sinar-x (x-ray) di kepalanya dan mengambil ujian air kencing dan najis untuk mengetahui tahap kecederaannya tetapi keputusannya belum diketahui," katanya ketika ditemui di KMC, semalam.

Dalam kejadian jam 10.15 pagi Khamis lalu, Ashraf dibelasah lapan murid di tandas sekolah itu, sebelum dia dibogelkan tanpa sebab.

Sebelum kejadian, mangsa dipanggil seorang daripada lapan murid terbabit, supaya mengikutnya masuk ke tandas dan di situ, tujuh murid lain sedang menunggu untuk membelasahnya.

Ashraf mendakwa, lapan murid terbabit marah selepas dia enggan membuka pakaian, menyebabkan mereka menendang perut dan menolak kepala ke dinding tandas dan seorang daripadanya pula memijak jari manisnya dan cuba mematahkannya dengan menarik jari ke atas.

Aris berkata, anaknya kini enggan ke sekolah kerana bimbang dibuli lagi, menyebabkan keluarga perlu memujuknya supaya melupakan kejadian itu.

Sementara itu, Aris berkata, dia dan isterinya, Norrawaidiyah Kassim, 28, kesal apabila mereka dituduh kononnya cuba meraih publisiti selepas kes buli membabitkan anaknya itu disiarkan media kelmarin.

"Kami tidak memanggil media datang ke rumah tetapi selepas mereka mengetahui kes itu daripada sumber lain, kami mengesahkannya kerana mangsa adalah anak saya,” katanya.

"Saya kesal kerana selepas kes itu diketahui Menteri, kejadian sebenar seolah-olah cuba ditutup pengurusan sekolah dengan mendakwa mereka tidak mengetahui langsung kes itu.

"Saya mahu siasatan terperinci dilakukan dan tindakan dibuat kerana kejadian salah laku murid di sekolah itu, sudah banyak kali berlaku tetapi diselesaikan selepas murid berjanji tidak mengulanginya," katanya.

0 comments: