MB Kedah jumpa pengusaha feri hari ini

ALOR STAR: "Negeri ada undang-undang dan peraturan, jangan lawan undang-undang nanti timbul masalah," demikian kata dua Menteri Besar, Datuk Seri Mahdzir Khalid, kepada pengusaha syarikat feri ke Langkawi yang berkeras mahu menaikkan tambang, mulai esok.

Tanpa mahu mengulas sama ada kerajaan negeri akan membenarkan kenaikan itu atau sebaliknya, Mahdzir berkata perkara itu akan diputuskan selepas pertemuannya dengan wakil syarikat feri di Wisma Darulaman, hari ini.

"Saya akan berjumpa mereka (wakil syarikat feri) esok (hari ini) dan apa pun keputusannya saya akan maklumkan selepas itu," katanya selepas membentangkan Bajet Kedah 2008 di Dewan Undangan Negeri di sini, semalam.

Menjawab soalan, Menteri Besar berkata, kerajaan negeri mempunyai kuasa dalam isu kenaikan tambang feri dan pengusaha sepatutnya mengikut peraturan sedia ada.

"Pada perjumpaan itu kita hendak tengok apa yang mereka (pengusaha) mahu kerana kita sudah mendapat maklum balas daripada orang ramai terutama penduduk Langkawi," katanya.

Penduduk Langkawi termasuk pemimpin masyarakat di pulau itu sebelum ini membantah hasrat syarikat feri untuk berbuat demikian.

Mahdzir sebelum ini mengumumkan kenaikan tambang itu ditangguhkan sehingga tarikh yang belum ditentukan kerana Langkawi menunggu kedatangan ramai pelancong sempena cuti sekolah dan Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi 2007 (Lima 07) bermula 4 hingga 8 Disember ini.

Berita Minggu semalam melaporkan semua enam syarikat feri Langkawi ke Kuala Kedah dan Kuala Perlis bertegas mahu menaikkan tambang antara RM3 dan RM5 mulai esok, walaupun kerajaan negeri memberi amaran akan menggantung permit mereka yang degil.

Pengurus Operasi Fery Line Ventures Sdn Bhd, Hussin Hasan, dipetik sebagai berkata semua syarikat feri sudah sebulat suara mahu menaikkan tambang itu mulai esok dan tiket baru sudah dicetak.

Syarikat mendakwa terpaksa menaikkan tambang feri kerana kos pengendalian, terutama minyak semakin melambung menyebabkan mereka tidak mampu menanggung kerugian.

0 comments: