Ramli didakwa lagi tuduhan baru salah guna kuasa

Oleh Ruhaidini Abd. Kadir


Ramli Yusuff.

KUALA LUMPUR 18 Nov. – Selepas menghadapi tiga tuduhan gagal mengisytiharkan harta, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Ramli Yusuff sekali lagi akan dihadapkan ke mahkamah esok.

Ramli, 55, yang baru balik daripada mengerjakan umrah akan didakwa di bawah Seksyen 15 Akta Pencegahan Rasuah 1997 di Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu.

Timbalan Ketua Pengarah 1 Badan Pencegah Rasuah (BPR), Datuk Abu Kassim Mohamed berkata, Pengarah JSJK itu akan dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan menyalahgunakan kuasa.

‘‘Tuduhan di bawah Seksyen 15 Akta Pencegahan Rasuah 1997 itu merupakan yang keempat dihadapinya (Ramli),’’ kata Abu Kassim ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Pada 1 November lalu, Ramli dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini atas dua tuduhan gagal mengisytiharkan harta berupa dua petak ruang pejabat dan 154,000 unit saham selain terlibat dalam perniagaan.

Mengikut pertuduhan itu, dia tidak mendedahkan maklumat melalui pernyataan bertulis secara bersumpah bertarikh 17 September lalu berkenaan pemilikan dua ruang pejabat iaitu Lot 144, Seksyen 44, petak 127 dan 128 yang bernilai RM1,032,840 di Tingkat 4, Bangunan M1-B, Megan Avenue II, Jalan Yap Kwan Seng di sini.

Kedua-dua harta itu dipegang oleh dua pengarah sebuah syarikat pelaburan, Bonus Circle Sdn. Bhd. iaitu Rohmah@Hasmah Yusuff dan Ruslina Yusuff yang merupakan kakak dan adik Ramli.

Pegawai kanan polis itu juga didakwa tidak mendedahkan maklumat berkenaan saham yang dimilikinya dalam sebuah syarikat hartanah, Permaju Industries Sdn. Bhd., sebanyak 154,000 unit sebagaimana yang dikehendaki oleh pendakwa raya melalui notis bertarikh 17 Julai lalu.

Ramli didakwa melakukan semua perbuatan itu di pejabat Timbalan Pendakwa Raya, Ibu Pejabat BPR di Putrajaya pada 17 September lalu.

Bagi kedua-dua pertuduhan itu, dia didakwa di bawah Seksyen 32(1)(a) Akta Pencegahan Rasuah 1997 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak melebihi RM100,000 jika disabitkan kesalahan.

Ramli sebagai penjawat awam turut didakwa di bawah Seksyen 168 Kanun Keseksaan kerana melibatkan diri dalam perniagaan Kinsajaya Sdn. Bhd. sebagai pengarah syarikat itu pada 25 April lalu.

Perbuatan itu bertentangan dengan Peraturan 5(1)(a), Peraturan Pegawai Awam Kelakuan dan Tatatertib (Pindaan 2002) yang mana dia boleh dihukum penjara maksimum setahun atau denda atau kedua-duanya jika disabitkan kesalahan.

Mahkamah membenarkan Ramli dibebaskan dengan ikat jamin sebanyak RM20,000 dan menetapkan perbicaraan selama empat hari bermula 15 Januari 2008 bagi tuduhan pertama dan kedua dan sebutan bagi tuduhan ketiga.

0 comments: