Amalan beratur nilai adab individu di UK

Amalan beratur nilai adab individu di UK
Oleh Siti Suriani Othman dari Nottingham, England
suria3979@hotmail.com

MUDAH saja amalan yang satu ini bahkan kita berasakan kanak-kanak pun boleh memahami arahan 'beratur'. Namun, amalan beratur untuk menaiki bas atau di kaunter perkhidmatan masih belum menjadi amalan jitu kita di Malaysia. Mungkin juga tidak keterlaluan dikatakan masih asing di kebanyakan negara timur.

Minggu ini saya tertarik untuk berkongsi pengalaman beratur di beberapa negara asing. Seperti yang pernah saya tulis dalam artikel lalu, pengalaman beratur belum ada yang manis di negara sendiri. Berbanding di United Kingdom (UK), mereka yang tidak beratur dipandang 'hina' oleh masyarakatnya.

Selain disifatkan sebagai individu yang mementingkan diri sendiri dan tidak menghormati hak orang lain, mereka yang gagal beratur juga adalah mereka yang tidak bertamadun. Menaiki bas dengan penumpang yang ramai tidak sesukar di negara sendiri. Dalam keadaan beratur panjang, tambah seri pengalaman itu apabila melihat sesetengah warga British memberi peluang kepada mereka yang membawa kereta sorong bayi.

Sudahlah mereka beratur mengikut giliran, mereka yang dalam kesukaran diberikan peluang lagi. Mungkin jarang kita melihat keadaan sebegini di negara sendiri. Saya sendiri yang kurang bijak berebut untuk menaiki bas pernah dinasihatkan seorang kawan ketika di sekolah menengah dulu, 'kena rebut nak naik bas, kalau tak rebut nanti kita tinggal' katanya yang melihat saya 'terlalu' memberi peluang kepada orang lain.

Benar juga katanya kerana jika terlalu memberi peluang, akhirnya kita sendiri yang tertinggal kerana orang lain asyik memotong, di samping memarahi kita yang tidak naik-naik. Kita yang mengharapkan keadaan yang lebih tertib menjadi mangsa kemarahan orang lain akhirnya.

Menariknya, ketika mula-mula mendapat peluang melanjutkan pengajian di UK, kami dibekalkan dengan prospektus universiti yang turut menyelitkan beberapa panduan pengajian dan kehidupan di UK. Antara yang paling menarik dalam brosur universiti ialah mengingatkan bakal pelajar supaya sentiasa beratur sama ada untuk menaiki kenderaan awam mahupun di kaunter.

Menurut brosur itu, mereka yang tidak beratur di UK adalah golongan yang tidak disukai. Lihat saja bagaimana budaya beratur ini dipentingkan dan diterap masyarakat sehinggakan 'orang baru' sentiasa diingatkan agar mencontohi amalan masyarakat setempat jika ingin diterima baik. Pastinya, sikap ini memudahkan ramai pihak.

Berebut-rebut bukanlah jawapannya dan ini sebenarnya melambatkan lagi pergerakan individu. Seseorang yang sampai dulu perlu mendapat haknya untuk dilayan terlebih awal, sesuai dengan masa yang diperuntukannya untuk sampai awal di sesuatu tempat. Mereka yang sampai lewat, tetapi tidak beratur dan siap awal perlu berasa malu dengan perbuatan itu.

Merampas hak orang lain demi kepentingan diri memperlihatkan sikap individu yang tidak matang dan tidak menghormati orang lain. Ironinya, amalan beratur di tempat awam sudah diajar di sekolah sejak kecil lagi, namun ia tidak menjadi budaya. Kanak-kanak di Malaysia diajar beratur setiap pagi dengan nyanyian lagu patriotik.

Nampaknya, beratur di sekolah sekadar mengikut arahan guru yang tidak membawa makna signifikan dalam kehidupan seharian. Sepatutnya, budaya beratur di sekolah diaplikasi dalam amalan yang memungkinkan kehidupan lebih tersusun dan sistematik. Lebih menyedihkan, pelajar universiti pun masih ada yang tidak tahu beratur.

Lihat saja kaunter makanan di sesetengah universiti yang boleh menggambarkan keadaan memalukan ini. Jika alasan lapar, bukankah semua orang yang ingin membeli makanan itu lapar? Jika benar-benar perlukan awal, mengapa tidak datang lebih awal daripada orang lain? Mengapa perlu dirampas hak orang lain yang juga mempunyai keperluan sama dengan kita?

Pada pihak peniaga pula, ada sesetengah peniaga yang tidak mendahulukan pelanggan yang datang awal. Di UK, peniaga akan cam muka mereka yang awal, walaupun barisan beratur tidak sempurna, kita tetap akan mendapat layanan lebih awal berbanding yang lewat. Sepatutnya hal ini juga menjadi keutamaan dan amalan oleh peniaga dan pelayan kaunter.

Memastikan yang awal didahulukan sebenarnya memberi hak mereka yang mutlak. Mengapa perlu kita serabutkan minda hanya kerana tekanan akibat perbuatan yang sebenarnya jika ditinggalkan, kesannya adalah jauh lebih baik?

Beratur bukan soal remeh dan perlu diberi penekanan. Oleh itu, Kerajaan China pernah melancarkan 'Hari Beratur' pada 2008 semata-mata untuk menyuburkan amalan ini di kalangan rakyatnya. Slogan 'Beratur itu amalan masyarakat bertamadun, mulia jika berbaik-baik' dikempenkan pada setiap 11 hari bulan setiap bulan di Beijing sempena Sukan Olimpik yang lalu.

Beratur menggambarkan sikap dan mentaliti sesebuah masyarakat, justeru, marilah mendidik diri dan anak ke arah sikap bermentaliti kelas pertama.

Penulis ialah pensyarah Universiti Sains Islam Malaysia (Usim), kini melanjutkan pelajaran peringkat Doktor Falsafah dalam bidang kewartawanan di Nottingham Trent University, UK.

0 comments: