Wanita Cina paling ramai periksa payu dara

KUALA LUMPUR 26 Okt. – Wanita berketurunan Cina paling ramai melakukan pemeriksaan payu dara melalui Program Mamogram Bersubsidi, sejak ia dilancarkan Mei lalu.

Ketua Pengarah, Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), Aminah Abdul Rahman (gambar) berkata, ini kerana mereka mempunyai kesedaran yang lebih tinggi mengenai kepentingan membuat pemeriksaan tersebut dan bahaya barah payu dara.

Katanya, sejak dilancarkan, seramai 1,045 wanita yang layak menjalankan pemeriksaan melalui program itu melakukannya.

“Daripada jumlah itu, 61 peratus ialah wanita berketurunan Cina, 31 peratus Melayu dan enam peratus India,” katanya pada sidang media sempena pelantikan beliau sebagai Ketua Pengarah LPPKN di sini hari ini.

Aminah, 52, yang sebelum ini berkhidmat sebagai Timbalan Ketua Pengarah Dasar LPPKN, dilantik memegang jawatan itu menggantikan Datuk Fatimah Saad yang bersara wajib, berkuat kuasa 10 September lalu.

Katanya, LPPKN akan mula mengatur strategi yang lebih efektif bagi menarik lebih ramai wanita berisiko menghidap barah payu dara, untuk melakukan pemeriksaan pada peringkat awal.

“Ramai juga wanita yang membuat pemeriksaan barah payu dara dan akhirnya mendapati mereka menghidap penyakit itu pada tahap akhir. Kita mahu mengelakkan perkara itu terjadi.

“Kita bimbang jika tahap keprihatinan kaum wanita kurang, lebih banyak kes barah payu dara tidak dapat dikesan dan proses rawatan juga akan menjadi sukar,” katanya.

Beliau berkata, LPPKN akan berusaha mengenal pasti punca lain yang menyebabkan wanita berisiko menghidap barah payu dara enggan menjalani pemeriksaan kesihatan itu.

Dalam pada itu, Aminah memberitahu, kira-kira 20 lagi pusat rawatan swasta akan diiktiraf bagi mengendalikan Program Mamogram Bersubsidi mulai tahun depan.

Sehingga kini katanya, terdapat 16 pusat rawatan swasta di seluruh negara yang menyediakan perkhidmatan pemeriksaan payu dara bersubsidi itu.

Program tersebut dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi pada Mei lalu bagi memberi peluang kepada golongan wanita membuat pemeriksaan barah payu dara pada kos yang rendah kerana telah diberi subsidi oleh kerajaan.

0 comments: