Pembebasan Estrada undang pelbagai reaksi

MANILA 26 Okt. – Tindakan Presiden Gloria Macapagal Arroyo mengampunkan Joseph Estrada mencetuskan pelbagai pandangan dengan ramai menyifatkan ia bermotifkan politik bagi mengalih perhatian daripada isu rasuah kerajaan.

Pengampunan bekas Presiden itu dibuat beberapa minggu selepas beliau dijatuhkan hukuman penjara seumur hidup atas kesalahan menggelapkan berjuta-juta dolar wang kerajaan.

Jurucakap Arroyo berkata, pengampunan terhadap bekas pelakon aksi itu dibuat selepas beliau bersetuju untuk bersara daripada politik.

Estrada, 70, turut menyerahkan aset bernilai AS$80 juta (RM268 juta) yang sebelum ini dibekukan kerajaan selepas beliau ditahan atas dakwaan rasuah pada tahun 2001.

Seorang lagi bekas Presiden, Corazon Aquino yang berkuasa selepas kejatuhan diktator Ferdinand Marcos pada 1986, menyatakan rasa gembira atas pembebasan Estrada dan berharap beliau akan “terus memperjuangkan kebajikan rakyat yang kurang bernasib baik.”

Sementara itu, Fidel Ramos yang menjadi Presiden selepas Aquino berkata, pengampunan itu mungkin membawa kepada kejatuhan Arroyo.

Komuniti perniagaan dan gereja yang sebelum ini didakwa oleh Estrada sebagai berkonspirasi menjatuhkannya, juga tidak sependapat mengenai pengampunan tersebut.

Pengerusi Dewan Perniagaan dan Industri Filipina, Donald Dee menyifatkannya sebagai “baik dan akan membantu menstabilkan negara.”

Pengarah Eksekutif Kelab Perniagaan Makati (MBC), Alberto Lim pula meluahkan rasa kecewa kelab elit perniagaan negara ini dengan pengampunan itu dan menyifatkan seperti “melepaskan seekor jerung.”

– AFP

0 comments: