4 lagi didakwa pecah amanah

Oleh Adha Ghazali

KANGAR: Tiga pegawai Kementerian Belia dan Sukan (KBS), termasuk bekas Pengarah Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) adalah antara empat orang yang didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, semalam, atas tuduhan melakukan penyelewengan dan pecah amanah dana awam.

Mereka ialah bekas Pengarah IKBN Kuala Perlis, Razali Ismail, 56; Pegawai Teknikal Kejuruteraan Awam KBS, Mohamad Rozaini Yusoff, 41 dan Penolong Pengarah Cawangan Pentadbiran Latihan, Bahagian Pembangunan Kemahiran KBS, Zulkefli Abdullah. Turut didakwa Saifuddin Tamkin, 39, Pengurus Pemasaran Syarikat Kosijaya Didactic Sdn Bhd.

Bagaimanapun, keempat-empat mengaku tidak bersalah ketika dihadapkan secara berasingan di depan Hakim Wan Norzannuar Wan Ahmad.


Tiga pegawai KBS itu didakwa menandatangani Borang 4E KD/FASA II/PP/E1057 iaitu Sijil Penerimaan Muktamad dengan niat memperdayakan prinsipal mereka dengan kepentingan selain mengandungi butiran palsu, berhubung pembelian kamera digital jenis Kodak CX7430 USA, pada 28 Oktober 2005.

Mereka bertiga dituduh mengikut Seksyen 11(c) Akta Pencegahan Rasuah 1997 yang mana jika sabit kesalahan boleh dihukum mengikut Seksyen 16, akta sama.

Sabit kesalahan mereka boleh dipenjara antara 14 hari hingga 20 tahun dan denda RM10,000 atau lima kali ganda nilai suapan, yang mana lebih tinggi.


Saifuddin pula dituduh mengikut Seksyen 11(c) yang dibaca bersama Seksyen 20(1)(c) akta sama kerana bersubahat melakukan penyelewengan bersama ketiga-tiga pegawai KBS terbabit.

Saifuddin diwakili N Shanmugavadivelan, Mohd Rozaini oleh Izwan Saiful Ishak, manakala Razali dan Zulkefli belum melantik peguam.

Mahkamah menetapkan kes itu dibicarakan pada 4 Disember ini dan mengenakan jaminan RM8,000 setiap seorang, selain pasport antarabangsa diserahkan kepada mahkamah.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Saiful Ezran Arifin.

Saifuddin dan Zulkefli ditahan di Kuala Lumpur, kelmarin, manakala Mohd Rozani pula ditahan di Kuala Perlis dan Razali di Alor Star, Kedah.

Terdahulu, keadaan mahkamah itu kecoh dengan kehadiran kira-kira 30 lelaki dipercayai kakitangan IKBN Kuala Perlis dan KBS untuk melindungi keempat-empat tertuduh daripada wartawan dan jurugambar.

Kumpulan lelaki terbabit yang tiba di mahkamah seawal jam 8.30 pagi sengaja mengerumuni tertuduh supaya jurugambar media tidak dapat merakam gambar rakan mereka.

Selasa lalu, enam pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), dua pegawai KBS, seorang kontraktor dan seorang perunding didakwa BPR di Mahkamah Kota Kinabalu, Kota Bharu dan Raub berhubung kes sama.

Sehari selepas itu, dua lagi pegawai KBS didakwa di Mahkamah Sesyen Seremban. Turut didakwa Pengurus Projek Kosijaya Didactic Sdn Bhd, Loh Sie Le, 38

0 comments: