Rekha tonton TV, VCD ketika dikurung penculik

Oleh Fazallah Pit

GEORGETOWN: Rekha Abdullah, budak perempuan berusia 10 tahun yang hilang empat hari lalu sebelum ditemui malam kelmarin, banyak menghabiskan masa dengan tidur dan menonton televisyen atau video cakera padat (VCD) di rumah wanita yang menculiknya.

Rekha yang kelihatan ceria ketika ditemui di Hospital Pulau Pinang (HPP) di sini, semalam, berkata dia menonton televisyen dan juga VCD berjudul Sivaji The Boss.

Dia juga dilayan dengan baik, termasuk diberi makanan yang enak seperti nasi lemak dan ayam goreng tetapi dimarahi wanita yang menculiknya jika dia tidak mandi.


Bagaimanapun, katanya, kerinduan terhadap keluarga mula membuak-buak selepas menonton berita mengenai kehilangannya di televisyen, petang kelmarin.

"Saya menangis kerana mahu pulang dan kakak (wanita yang menculiknya) membawa saya ke perhentian bas di Farlim, Air Itam dan terus menaiki bas," katanya yang asyik bergurau dengan adiknya, Muhamad Ahamad, 8.

Rekha dilihat aktif dan bertegur sapa dengan kanak-kanak lain serta bermain-main dengan telefon ibunya, Salmah Sellamah Abdullah, 41, selain berjalan-jalan di sekitar wad.


Rekha hilang ketika keluar seorang diri ke pasar malam berhampiran rumahnya di Kampung Kolam, di sini untuk membeli VCD.

Dia yang membawa wang RM5 yang diberikan oleh bapa tirinya, Ahamad Omar, 49, tidak pulang sehingga menyebabkan keluarganya membuat laporan polis.

Rekha ditemui jam 9 malam kelmarin berhampiran Masjid Kapitan Keling di sini, sebelum diserahkan kepada keluarganya.

Ditanya mengapa dia mengikut wanita terbabit, Rekha berkata, dia dipelawa menikmati ais krim strawberi dan menonton VCD yang menjadi kegemarannya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Azam Abdul Hamid, berkata polis belum mengenal pasti wanita yang disyaki menculik Rekha dan usaha memburunya giat dijalankan.

Polis menyiasat kes itu mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksaan kerana menculik.

Sementara itu, Salmah berkata, anaknya akan ditempatkan di HPP lima hari bagi pemeriksaan kesihatan, termasuk kewarasan fikiran.

0 comments: