Polis lakukan siasatan dalaman kes serbuan

Oleh Jalal Ali Abdul Rahim dan Nahar Tajri

KUALA LUMPUR: Polis akan menjalankan siasatan dalaman bagi memastikan sama ada serbuan ke atas sebuah rumah di Taman Suria, Sungai Buloh dekat sini, malam kelmarin, yang menyebabkan dua anggotanya mati dan dua pegawai cedera, dibuat mengikut prosedur.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan, berkata siasatan itu bertujuan mengenal pasti sama ada prosedur dipatuhi, selain mengapa persediaan tidak dibuat rapi sebelum serbuan dilakukan.

“Kita sedang menyiasat kejadian itu dan setakat ini saya belum menerima maklumat terperinci mengenainya. Kita juga perlu tahu siapa ketua yang mengarahkan operasi itu,” katanya pada sidang media pada Majlis Pelancaran Hari Masyarakat Bersama Polis 2007 di Sungai Besi, semalam.


Ditanya mengapa anggota dan pegawai itu tidak memakai baju kalis peluru ketika serbuan itu dilakukan, Musa berkata, baju kalis peluru sangat terhad dan hanya digunakan untuk operasi tertentu.

“Kita akan memohon baju kalis peluru tambahan daripada Jabatan Perolehan kerana keperluannya yang semakin meningkat. Jika mendapat peruntukkan baru kita akan gunakan baju kalis peluru dalam semua operasi berbahaya termasuk ketika rondaan,” katanya.

Dalam serbuan jam 8.15 malam kelmarin, dua anggota polis, Lans Koperal Jaya Balan Krishnan, 30 dan Lans Koperal Alageson Malappan, 41, terbunuh selepas diserang hendap sekumpulan lelaki ketika cuba memasuki sebuah rumah yang disyaki dijadikan makmal memproses dadah.


Dua pegawai, Cif Inspektor Helmi Zakaria dan Cif Inspektor Rajakumar Laju, yang turut terkena tembakan cedera parah dan dirawat di Hospital Kuala Lumpur dan Hospital Sungai Buloh.

Pengarah Siasatan Jenayah Polis Bukit Aman, Datuk Christopher Wan Soo Kee, berkata polis akan menggunakan sepenuhnya sumber yang ada dalam pasukan itu bagi memburu penjenayah terbabit di seluruh negara.

“Kita sudah tubuhkan pasukan khas membabitkan pegawai Bukit Aman, Kuala Lumpur dan Selangor untuk menyiasat setiap sudut operasi serbuan itu serta mengenal pasti penjenayah.

“Kita sedang mengenal pasti mereka dan percaya lebih dua orang penjenayah terbabit dalam kes itu.

"Penjenayah (kini) sudah tidak takutkan polis. Penjenayah yang terbabit adalah penjenayah berbahaya dan kita akan terus memburu mereka,” katanya.

Beliau berkata, pasukan forensik yang sejak malam kelmarin mengumpul bahan bukti, menemui banyak kesan cap jari yang akan dikenal pasti dengan kerjasama Jabatan Pendaftaran Negara.

Sementara itu, tinjauan di tempat kejadian semalam mendapati dua pasukan forensik polis menemui dua butir peluru hidup di dalam rumah yang disewa suspek serta tiga kelongsong peluru di luar rumah berhampiran tempat kejadian.

Sebuah kereta Kenari hitam juga masih berada di tempat letak kereta rumah itu dengan beberapa kesan kerosakan dipercayai terkena tembakan.

Sumber memberitahu, rumah itu mempunyai sekurang-kurangnya tiga kamera litar tertutup (CCTV) untuk mengawasi sebarang pergerakan dari arah berlainan yang di tempatkan di pelbagai sudut.

“Kita percaya rumah berkenaan dijadikan tempat memproses dan membungkus dadah berdasarkan penemuan satu kotak dipercayai berisi syabu dan ketamin serta beberapa peralatan bagi tujuan itu.

Beliau berkata, pemilik rumah itu berasal dari Johor dan menyewakannya kepada suspek sejak lima bulan.

0 comments: