Silap besar jika serang Iran – Carter

NEW YORK 26 Okt. – Bekas Presiden Amerika Syarikat (AS), Jimmy Carter semalam memberi amaran, sebarang tindakan menyerang Iran akan menjadi “satu kesilapan dahsyat”.

Sehubungan itu, beliau menggesa Washington untuk mengadakan rundingan dengan Iran bagi menggesa republik itu agar tidak membangunkan senjata nuklear.

“Saya beranggapan sebarang serangan tentera ke atas Iran akan menjadi kesilapan dahsyat dan juga satu tragedi.

“Oleh itu, kita perlu mengadakan rundingan penuh dengan para pemimpin Iran bagi memastikan mereka tahu kita tidak berniat menyerang mereka secara ketenteraan.

“Saya berharap khabar angin (mengenai rancangan AS menyerang Iran) tidak benar,” katanya selepas mengadakan pertemuan dengan Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Ban Ki-moon.

AS sebelum ini tidak menolak untuk mengenakan tindakan ketenteraan terhadap Iran jika Teheran enggan menghentikan program pengayaan uraniumnya yang boleh digunakan untuk membekalkan bahan bakar untuk reaktor nuklear awam.

Teheran pula dalam reaksi terbarunya menegaskan untuk tidak berganjak “walau sekelumit” daripada program nuklearnya dan tetap menyatakan yang ia dijalankan untuk menjana tenaga.

Bagaimanapun, negara-negara Barat khuatir sekiranya Iran cuba menghasilkan senjata nuklear.

– AFP

0 comments: