Kebakaran hutan California: Enam lagi mayat ditemui


GEORGE W. Bush (tengah) menenangkan sepasang suami isteri yang tidak dapat menahan pilu menyaksikan rumah mereka hangus di San Diego, California, kelmarin. – Reuters.

SAN DIEGO, California 26 Okt. – Pasukan penyelamat semalam menemui 6 lagi mayat yang telah rentung dalam kebakaran hutan di sini.

Menurut jurucakap Jabatan Syerif, Jan Caldwell, dua daripada mayat itu ditemui dalam sebuah rumah manakala empat lagi di kawasan hutan.

Katanya, pasukan perubatan masih berusaha mengesan identiti kesemua mayat tersebut yang ditemui di Poway, berhampiran San Diego.

Jumlah penemuan terbaru ini telah meningkatkan angka kematian setakat ini kepada 12 orang sementara berpuluh-puluh orang lagi mengalami kecederaan terutama ahli bomba.

Kejadian kebakaran hutan itu merupakan yang terburuk pernah berlaku di negara ini menyebabkan kemusnahan hutan seluas 2,072 kilometer persegi dan kerugian dianggarkan lebih AS$1 bilion (RM3.36 bilion).

Sementara itu, Presiden George W. Bush bersama Gabenor Arnold Schwarzenegger, melawat kawasan bencana semalam dan bertemu mangsa yang ditempatkan di pusat perlindungan sementara selain turut menyaksikan usaha memadam kebakaran.

Bush dilihat cuba memulihkan imejnya yang tercalar selepas tragedi Taufan Katrina pada Ogos 2005 dengan menghulurkan bantuan sebaik mungkin kepada mangsa kebakaran di California kali ini.

– AP

0 comments: