Status halal 14 pusat sembelih tak dijamin

Oleh Mohamed Farid Noh

KUALA LUMPUR: Empat belas pusat penyembelihan di sembilan negeri serta lebih 100 syarikat pengeluar produk makanan dan keperluan harian termasuk beberapa jenama terkenal, dikesan belum membaharui sijil pengesahan halal. Berikutan itu, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) tidak dapat menjamin status perkhidmatan dan produk berkenaan sama ada halal kerana ia meragukan.

Pusat penyembelihan itu terletak di ibu kota dan Labuan, Perak, Selangor, Melaka, Kedah, Johor, Negeri Sembilan serta Pulau Pinang. Antara produk makanan dan barangan keperluan harian itu pula ialah minuman segera, makanan dalam tin, majerin, bebola ikan, nugget dan burger.

Ketua Pengarah Jakim, Datuk Wan Mohamad Sheikh Abd Aziz, berkata pusat penyembelihan dan syarikat terbabit akan dikenakan tindakan jika masih menggunakan logo halal setelah sijil pengesahan halal berkenaan tamat tempoh.


"Menjadi tanggungjawab syarikat terbabit memperbaharui sijil pengesahan halal, empat bulan sebelum tempohnya tamat. Kebanyakan sijil pengesahan halal syarikat terbabit didapati sudah luput, Ogos lalu.

"Kealpaan mereka menyebabkan Jakim kini tidak dapat menjamin status perkhidmatan serta produk mereka sama ada halal atau tidak serta boleh meragukan pengguna," katanya ketika dihubungi Berita Harian, semalam.

Beliau berkata, perkara itu berlaku disebabkan kecuaian pengusaha pusat penyembelihan dan pemilik syarikat terbabit yang memandang remeh serta tidak peka terhadap sensitiviti umat Islam.


Wan Mohamad berkata, sijil pengesahan halal yang dikeluarkan Jakim tidak boleh dipandang ringan kerana pihaknya bertanggungjawab memastikan pelbagai produk yang menggunakan logo halal tidak dicemari unsur haram.

"Jakim tidak akan berkompromi dalam soal halal haram kerana ia boleh menjejaskan kesucian umat Islam serta memperjudikan kepercayaan mereka terhadap kerajaan.

"Kedegilan pengusaha hanya merugikan mereka kerana pengguna kini semakin bijak dan mempunyai kesedaran kepenggunaan yang tinggi. Pengguna kini semakin teliti berhubung status makanan dan produk yang ingin dibeli," katanya.

Mengenai proses memperbaharui sijil halal, beliau berkata, ia mengambil masa sekurang-kurangnya dua bulan kerana terpaksa melalui proses pemeriksaan ketat terhadap premis dan bahan mentah yang digunakan.

"Bagi produk makanan pula, kita menitikberatkan bahan yang digunakan kerana kami pernah mendapati unsur tidak halal dicampur dalam produk makanan," katanya.

Maklumat mengenai pengeluar serta produk makanan dan keperluan harian yang sudah tamat tempoh sijil halalnya boleh dirujuk menerusi laman web Jakim di www.islam.gov.my/portal/.

INFO: Syarat rumah sembelih

  • Setiap penyembelih hendaklah warga negara Malaysia dan mempunyai Sijil Penyembelih
  • Jumlah penyembelih hendaklah mencukupi mengikut kadar sembelihan
  • Mempunyai Sijil Pemeriksaan Veterinar daripada Jabatan Perkhidmatan Haiwan
  • Rumah sembelih hendaklah berasingan dari rumah kediaman
  • Rumah sembelih hendaklah berpagar dan memastikan tiada binatang lain berkeliaran
  • Binatang yang disembelih tidak boleh dilonggokkan di dalam satu tempat

0 comments: