Benazir lawat kampung halaman

KARACHI: Bekas pemimpin Pakistan Benazir Bhutto meninggalkan Karachi dalam kawalan ketat hari ini untuk melakukan lawatan umum pertamanya di luar bandar ini sejak pengebom berani mati menggempur perbarisan menyambut kepulangan beliau baru-baru ini.

Bhutto terbang ke bandar Sukkur, kira-kira 600 kilometer di utara Karachi awal pagi tadi, dalam perjalanan ke kampung asal usulnya di Larkana di selatan wilayah Sindh.

Berdozen penyokong melintasi halangan di pasang di sekeliling lapangan terbang Sukkur untuk mendekati Bhutto yang berada di dalam terminal sambil dikawal oleh pengawal peribadi persendirian dan pengawal keselamatan lapangan terbang.


Kira-kira 9,000 penyokong lagi menunggu di belakang halangan sambil mengibarkan bendera melambang warna parti politik beliau dan menjerit "hidup Benazir" dan "Perdana Menteri Benazir".

Sebelum ini, Benazir terpaksa berlindung dalam rumahnya di Kerachi berikutan letupan minggu lalu yang mensasarkan bekas perdana menteri itu dan menyebabkan 139 penyokong terbunuh apabila mereka berkumpul di jalan raya untuk menyambut kepulangan beliau selepas lapan tahun hidup dalam buangan.

Bhutto berjanji untuk menetap di Pakistan walaupun berlakunya letupan di Kerachi itu dan memimpin partinya untuk menghadapi pilihan raya akan datang yang dianggap sebagai langkah penting ke arah mengembalikan demokrasi di Pakistan selepas lapan tahun di bawah pimpinan tentera.


Butiran lawatan singkat itu dirahsiakan atas alasan keselamatan, tetapi pegawai parti berkata, Bhutto akan mengambil jalan darat ke Larkana sebelum pergi ke sebuah perkampungan berdekatan untuk mengunjungi makam keluarga. - Agensi

0 comments: