Junta Myanmar giat buru ‘sami palsu’

YANGON 26 Okt. – Junta tentera Myanmar kini giat memburu beberapa orang ‘sami Buddha palsu’ yang mengetuai perarakan antijunta sebelum ini.

Akhbar rasmi junta, New Light of Myanmar melaporkan, dalang yang mengaturkan perarakan tersebut merupakan bekas banduan dan mereka akan didakwa mengikut undang-undang sedia ada.

Menteri Hal Ehwal Keagamaan, Brigadier Jeneral Thura Myint Maung dipetik memaklumkan sami-sami utama pada satu perjumpaan Rabu lalu bahawa kebanyakan sami dari Barisan Sami Kebangsaan merupakan bekas banduan serta sami palsu yang melanggar peraturan sami dengan mengetuai perarakan tersebut.

Maung turut menyatakan bahawa tiada sami terbunuh ketika kerajaan menyuraikan penunjuk perasaan sementara beberapa sami yang ditahan untuk disoal siasat akan dibebaskan kerana ‘terpaksa’ mengambil bahagian dalam perarakan tersebut.

Pada 7 Oktober lalu, akhbar itu turut melaporkan 398 daripada 533 sami yang ditahan telah dibebaskan selepas pihak berkuasa mengesahkan mereka bukan sami palsu.

Bagaimanapun, imej junta tercalar kerana menggunakan kekerasan terhadap sami memandangkan golongan itu amat dihormati rakyat negara ini.

Bagi meredakan keadaan, media kini giat memuatkan berita junta memberi derma kepada wat dan melaporkan hanya sebahagian kecil sami terlibat dalam perarakan itu.

– AP

0 comments: