Adik meninggal dunia, Sheikh Muszaphar pulang hari ini

KUALA LUMPUR 27 Okt. - Angkasawan pertama negara, Dr. Sheikh Muszaphar Shukor Sheikh Mustapha dibenarkan menamatkan tempoh kuarantin di Rusia lebih awal untuk menghadiri pengkebumian adiknya, Sheikh Mustapha Shukor Al Masrie yang meninggal dunia hari ini.

Beliau dijadualkan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada pukul 6.45 pagi esok.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Jamaluddin Jarjis berkata, beliau telah meminta bantuan Kedutaan Malaysia di Moscow bagi menguruskan kepulangan Sheikh Muszaphar Shukor.

``Saya sendiri bercakap dengan Dr. Sheikh melalui telefon semalam dan daripada nada suaranya, dia kedengaran tabah dan tenang menerima berita bahawa adiknya tenat sebelum ini.

``Dia memang mengikuti perkembangan adiknya dari semasa ke semasa,’’ katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Jamaluddin kini berada di Paris, Perancis bagi menghadiri persidangan agung ke-34 Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO)

Ahad lalu, Sheikh Mustafa Shukor Al Masrie, 32, yang juga dikenali sebagai Ajil pengsan selepas terlanggar tiang ketika memasuki sebuah restoran di Jalan Klang Lama di sini.

Berikutan perlanggaran itu, Ajil terjatuh dan kepalanya terhentak pada batu-bata di kawasan restoran tersebut.

Anak keempat daripada lima beradik itu dimasukkan ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) dan berada dalam keadaan kritikal.

Khamis lalu, ibu bapa Sheikh Muszaphar Shukor terpaksa pulang ke tanah air dua hari lebih awal untuk melawat Ajil di hospital.

Jamaluddin turut mengucapkan takziah kepada keluarga Sheikh Muszaphar Shukor dan meminta mereka tabah dan bersabar di atas apa yang berlaku. -Utusan

0 comments: