Kami akan tumpaskan mereka – Musa

KUALA LUMPUR 26 Okt. – Polis melahirkan kebimbangan mengenai kewujudan ‘kumpulan pembunuh’ yang semakin berani menjadikan anggota pasukan keselamatan sebagai sasaran mereka sejak kebelakangan ini.

Ini berdasarkan kejadian terbaru, dua anggota polis mati manakala dua lagi cedera parah ditembak penjenayah ketika serbuan ke atas sebuah rumah disyaki tempat menyimpan dadah di Jalan TS2, Taman Suria, Kampung Desa Aman, Sungai Buloh, pukul 7 malam tadi.

Sebelum ini, dua anggota polis cedera ditembak oleh sekumpulan penyamun yang diburu pihak berkuasa dalam kejadian di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Seremban arah utara, Lebuh Raya Utara Selatan, pukul 2.55 pagi, Selasa lalu.

Sehari sebelumnya, dua anggota polis cedera manakala seorang penjenayah terbunuh dalam kejadian tembak-menembak berhampiran premis menjual kenderaan terpakai di kawasan Kilometer 12 Jalan Ipoh, berhampiran Pasar Borong Selayang.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan yang mengulas mengenai trend penjenayah menjadikan anggota polis sebagai sasaran menegaskan, pihaknya tidak gentar malah sama sekali tidak akan berdiam diri.

Sebaliknya, tambah beliau, pasukan itu akan melancarkan gerakan besar-besaran mengesan dan memburu ‘kumpulan pembunuh polis’ termasuk suspek yang terlibat dalam kejadian di Sungai Buloh semalam.

Menurutnya, walaupun beliau bersedih dengan nasib yang menimpa anggota polis terbabit namun pasukan itu sama sekali tidak akan ‘mengalah’ kepada penjenayah dalam mempertahankan keamanan negara.

“Tumpuan kita ketika ini ialah mengesan penjenayah terbabit kerana mereka merupakan ‘kumpulan pembunuh polis’ yang amat ganas.

“Mereka berani bunuh anggota polis... saya anggap ini sangat serius. Kami tidak akan berdiam diri, kita akan tumpaskan mereka,” katanya pada sidang akhbar majlis pelancaran Hari Masyarakat Bersama Polis 2007 di Balai Polis Sungai Besi di sini, hari ini.

Musa mengulas tragedi dua anggota polis terbunuh dan dua lagi parah ditembak sekumpulan lelaki dalam kejadian di Kampung Desa Aman, Sungai Buloh itu.

Anggota polis yang terbunuh ialah Lans Koperal K. Jaya Balan dari Jabatan Narkotik Gombak dan Lans Koperal M. Alagesan dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor.

Dua lagi yang cedera ialah Cif Inspektor R. Rajakumar dari Cawangan Siasatan Jenayah Komersial dan Cif Inspektor Helmi Zakaria dari Jabatan Narkotik Gombak.

Kejadian itu berlaku kira-kira pukul 7 malam ketika keempat-empat anggota polis itu menyerbu sebuah rumah di taman berkenaan kerana dipercayai menjadi tempat menyimpan dadah.

0 comments: