Pelajar suka ‘melepak’ atas landasan – Penduduk

Oleh: TARMIZI ABDUL RAHIM

REMBAU 26 Okt. – Penduduk Kampung Tanjung di sini mendakwa pelajar Sekolah Menengah Agama Haji Mohd. Yatim gemar ‘melepak’ di kawasan landasan kereta api yang dilihat hampir setiap malam sejak Ramadan lalu.

Menurut mereka, pada kebiasaannya pelajar berkenaan berkumpul dalam kumpulan seramai 10 dan 20 orang di tepi dan atas landasan itu terutamanya selepas solat sunat tarawih.

Jarak pagar belakang Asrama Putera sekolah tersebut dengan landasan kereta api itu hanyalah kira-kira 600 meter.

Seorang penduduk, Mohamad Hasan, 66, berkata, selepas Ramadan aktiviti para pelajar itu berterusan dan mereka masih lagi berkumpul di kawasan landasan walaupun sering ditegur berulang kali supaya tidak mendekati laluan berkenaan.

‘‘Saya pelik kerana warden sekolah itu tidak menjaga betul-betul pelajar mereka yang keluar dengan sewenang-wenang sehingga lewat malam, kalau sekali-sekala keluar mungkin boleh dimaafkan tetapi masalahnya terlalu kerap,’’ katanya ketika ditemui di tempat kejadian dua pelajar yang maut digilis kereta api di sini hari ini.

Mengulas mengenai kejadian itu, Mohamad memberitahu, beliau ada melihat sekumpulan pelajar sekolah berada berhampiran landasan tersebut beberapa jam sebelum nahas berlaku.

‘‘Kira-kira pukul 11 malam semasa menonton rancangan gusti di TV3, saya terdengar bunyi hon kereta api yang kuat dan hati saya terdetik, mungkin budak-budak tadi kena langgar.

‘‘Saya terus keluar rumah dan melihat kereta api itu berhenti dan pemandunya turun memeriksa kawasan terbabit sebelum melihat cebisan mayat yang hancur digilis kereta api,’’ katanya.

Sementara itu, usaha Utusan Malaysia untuk berjumpa dengan pihak pengurusan sekolah berkenaan bagi mendapatkan gambaran mengenai kejadian itu gagal kerana tidak dibenarkan masuk oleh pengawal keselamatannya.

Menurut pengawal keselamatan itu yang enggan dikenali, pihak sekolah telah mengarahkannya supaya tidak membenarkan mana-mana media memasuki kawasan sekolah itu, sebaliknya mendapatkan maklumat terus daripada pihak polis.

Dalam pada itu, hasil pemerhatian Utusan Malaysia di sekitar sekolah berkenaan, mendapati aktiviti pelajar yang menghuni asrama lelaki dan perempuan sekolah itu berada dalam keadaan tenang, seolah-olah tiada sebarang insiden buruk berlaku.

0 comments: