Melayu digalak usaha pertanian komersial

SEREMBAN: Konvensyen Pertanian Kebangsaan 2007 yang bermula di sini hari ini akan menjadi pemangkin dalam usaha melonjakkan penyertaan Melayu dalam sektor pertanian, manakala pengusaha sedia ada memperluaskan aktiviti ke tahap komersial sebagai perniagaan berdaya maju.

Program julung kali yang akan dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi jam 4 petang ini juga diyakini mampu mengupas dan merumuskan dasar terbaik membangunkan sektor pertanian di kalangan orang Melayu.

Sasaran itu berdasarkan penyertaan kira-kira 1,200 peserta dari seluruh negara yang akan berkumpul di lokasi konvensyen, Allson Klana Resort, di sini yang diharap dapat menyebarkan maklumat serta ilmu kepada masyarakat di kawasan masing-masing.


Bertemakan Melayu Dalam Pertanian: Dulu, Kini dan Akan Datang anjuran Biro Pertanian Umno itu akan menampilkan tokoh dan pakar dalam sektor pertanian negara bagi berkongsi pandangan dan pendapat dengan peserta.

Komitmen kerajaan terhadap program itu terbukti apabila Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan dilantik Pengerusi Jawatankuasa Konvensyen dan terbabit secara langsung dalam program berkenaan.

Penutup dijadual disempurnakan Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak yang diisi tiga sesi bengkel dan dua forum memfokuskan bidang pertanian sebagai perniagaan, selain membincangkan pembangunan modal insan dan industri halal dalam sektor itu.

Ahli panel termasuk Tun Musa Hitam, Prof Diraja Ungku Aziz, Tan Sri Arshad Ayob; Naib Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin, Datuk Wahab Maskan, Prof Dr Fatimah Mohamed Arshad, Tan Sri Dr Ahmad Mustaffa Babjee, Datuk Johan Jaafar, Datuk Jamil Bidin dan Datuk Jamaluddin A Kadir.

Turut diadakan sempena program berkenaan ialah Forum Perdana Ehwal Islam yang membincangkan tajuk ‘Industri Pertanian Menurut Perspektif Islam’ dan forum khas bertajuk ‘Melayu Dalam Pertanian: Dulu, Kini dan Akan Datang.’

0 comments: